KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengesan sebanyak RM1.4 bilion pendapatan tidak dilapor hasil semakan menerusi e-Invois.
LHDN menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya mengenal pasti pembayar cukai yang gagal melaporkan pendapatan untuk tujuan tindakan penguatkuasaan, sekali gus memastikan keadilan kepada pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian.
Katanya, lebih 500,000 kes berpotensi dikesan melibatkan individu atau entiti yang menunjukkan corak keupayaan kewangan tinggi namun, tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada pelaporan pendapatan kepada LHDN.
“Melalui pendekatan audit dan peringatan, LHDN menggalakkan pembayar cukai tampil membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian.
“Hasilnya, seramai 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) telah tampil melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang berjumlah RM1.4 bilion, sekali gus menyumbang hasil cukai sebanyak RM290 juta,” menurut kenyataan itu.
Sebagai agensi pentadbir cukai langsung negara, LHDN menegaskan komitmennya untuk menyokong penuh kerajaan dalam memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai dengan melapor dan membayar cukai secara adil dan saksama disamping mengesan sebarang ketidakpatuhan menggunakan teknologi terkini.
Sehubungan itu, semua pembayar cukai dinasihatkan supaya memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam pada itu LHDN menyatakan akan terus memperkukuh aktiviti pematuhan cukai melalui pendekatan berasaskan data dan pendigitalan, termasuk pelaksanaan e-Invois.
Ia bagi mengekang ketirisan hasil negara serta memastikan pelaporan pendapatan dibuat secara tepat dan mematuhi undang-undang, dengan lebih 500,000 kes berpotensi ketidakpatuhan dikenal pasti setakat ini.
Tambahnya, usaha berterusan itu selari dengan agenda memperkasa sistem percukaian negara menerusi pendigitalan bagi meningkatkan ketelusan serta membolehkan penilaian risiko pematuhan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
“Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, seramai 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois melibatkan pengeluaran sebanyak 979 juta e-Invois secara keseluruhan.
“Perkembangan itu mencerminkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terhadap transformasi pendigitalan operasi perniagaan,” katanya. – MalaysiaGazette


