UPSI, Tsinghua University jalin kerjasama bangunkan projek AI pendidikan

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh agenda transformasi digital dan penyelidikan berimpak tinggi menerusi kerjasama strategik bersama Tsinghua University, Beijing, China dalam pembangunan projek berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) serta teknologi pendidikan.

Kerjasama berkenaan dimeterai susulan lawatan kerja rasmi delegasi 10 orang akademia UPSI ke universiti terkemuka dunia itu dari 5 hingga 9 Januari lalu.

Melalui usaha itu juga ia membuka ruang pendedahan menyeluruh terhadap ekosistem penyelidikan dan inovasi bertaraf antarabangsa, khususnya dalam bidang AI, sistem digital serta aplikasi teknologi pintar dalam pendidikan.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata, lawatan berkenaan dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Profesional Staf UPSI yang menjadi antara inisiatif utama universiti bagi memperkukuh jaringan global dan meningkatkan kualiti penyelidikan.

“Ia juga antara usaha dalam meningkatkan kualiti penyelidikan serta mempercepat pembangunan inovasi dalam pendidikan berasaskan AI yang berimpak kepada komuniti dan negara.

“Kerjasama strategik bersama institusi ternama dunia seperti Tsinghua University adalah pemangkin kepada pemindahan ilmu dan kepakaran, sekali gus meningkatkan daya saing UPSI dalam landskap pendidikan tinggi global,” katanya di sini, pada Selasa.

Kata beliau, pemilihan Tsinghua University sebagai rakan strategik adalah bertepatan memandangkan universiti berkenaan terkenal sebagai peneraju global dalam bidang AI apabila dinobatkan sebagai institusi terbaik dunia untuk AI dalam penarafan CSRankings 2026 yang baharu diterbitkan.

Menurut beliau, kerjasama yang dijalinkan itu juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang ditetapkan sebagai hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara.

“Sepanjang lawatan, delegasi UPSI mengikuti sesi perkongsian kepakaran bersama penyelidik Tsinghua University serta melakukan tinjauan ke fasiliti penting seperti MOOC-CN Education yang menempatkan platform XuetangX yang merupakan Massive Open Online Course (MOOC) terbesar di China.

“Delegasi turut melawat pusat inovasi Tsinghua X-lab, yang memberi fokus kepada integrasi AI bagi menyokong penyelidikan serta pembangunan teknologi masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu Md Amin berkata, kolaborasi UPSI-Tsinghua turut diperluaskan melalui penyertaan 10 kakitangan universiti dalam program profesional pendidikan Happy Digital X (HDX) anjuran Tsinghua Southeast Asia Center (Tsinghua SEA).

Kata beliau, ia merupakan salah satu platform antarabangsa Tsinghua University yang memberi tumpuan kepada transformasi digital, integrasi AI dan pembangunan penyelesaian teknologi secara sistemik.

Justeru ujar beliau, penyertaan itu bukan sahaja memperkukuh kompetensi staf, malah membina jaringan profesional strategik di peringkat serantau dan antarabangsa untuk manfaat universiti dalam jangka panjang.

“Kerjasama dengan Tsinghua University ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPSI yang kini berada dalam kedudukan 101-125 bagi penarafan World University Rankings 2026: Educational Studies.

“Ia adalah usaha UPSI memperluas jaringan global bagi memperkukuh penyelidikan dan inovasi teknologi, sejajar dengan matlamat melahirkan graduan serta penyelidik berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

UPSI, Al-Iraqia University meterai MoU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI