MARA jamin tak kompromi kakitangan terlibat pecah amanah – Asyraf

KOTA TINGGI – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku libatkan kakitangannya terutama libatkan kes integriti dan pecah amanah.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika wujud kes seperti itu, pihaknya tidak akan melindungi pelaku sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Kita tidak akan kompromi sebab itulah kita tak pernah menutup, kita tak pernah menyoroknya di bawah permaidani kerana bagi kita, perkara-perkara yang melibatkan soal integriti, soal disiplin, soal kepatuhan kepada tadbir urus yang tinggi adalah sesuatu yang memang ditekankan dalam MARA.

“Sebab itu kalau ada salah laku dia akan melalui proses yang biasa tetapi kalau melibatkan pecah amanah yang melibatkan wang dan sebagainya, kita sendiri akan lapor kepada polis dan pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Logistic Learning Provider (LLP) di Kolej Profesional Mara Bandar Penawar di sini hari ini.

Asyraf Wajdi sentiasa mengingatkan dan menekankan kepada warga kakitangan MARA tentang budaya kerja berteraskan prinsip tiga IP iaitu integriti, ihsan dan inovasi yang digabungkan dengan profesionalisme tinggi dalam setiap tugasan mereka.

Katanya, integriti merupakan asas utama dalam memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

Selain itu nilai ihsan penting ketika berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat manakala inovasi dan sikap profesional perlu sentiasa diperkasakan.

“Sudah tentu kita manusia pun tak sempurna tetapi tidak menjadikan alasan bahawa kita merelakan ataupun menghalalkan sebarang salah laku yang berlaku,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai MARA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran balik pinjaman empat individu kepada agensi itu bernilai lebih RM15,000 sejak lima tahun lalu.

Berdasarkan laporan dibuat, polis menerima maklumat daripada pegawai atasan MARA berhubung keraguan berkaitan pembayaran balik pinjaman peribadi dan perniagaan membabitkan empat skim di bawah agensi itu.

Siasatan polis mendapati, mangsa membayar pinjaman dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh kononnya bagi memudahkan peminjam tidak perlu ke kaunter untuk membayarnya.

Perkara itu terbongkar apabila tertuduh berpindah ke cawangan lain dan mangsa mendakwa menerima surat tunggakan pembayaran balik pinjaman daripada agensi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI