Puad kritik Hannah, ingatkan kuasa Agong dalam pelantikan Datuk Bandar KL

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh diingatkan supaya lebih berhati-hati dan menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam urusan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan tidak menjadikan proses itu seolah-olah satu pilihan raya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menegaskan, perkara tersebut telah diperuntuk dengan jelas di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 yang menetapkan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda.

“Barangkali ramai tidak sedar bahawa perlantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu perkenan daripada YDP Agong. Itu ada dalam undang-undang khususnya Akta Ibu Kota Persekutuan 1960,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Puad yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengulas kenyataan Hannah yang menyatakan kajian berkaitan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bukan kajian parti politik selain meminta orang ramai supaya tidak bimbang.

Bagaimanapun, Puad berkata, tindakan Hannah yang dilaporkan mahu membentangkan laporan kajian tersebut kepada orang ramai untuk disemak dan diberikan komen jelas menunjukkan penglibatan kementerian secara langsung.

“Itu bermakna kementerian terlibat. Itu juga bermakna dia tidak sensitif kepada kuasa prerogatif YDP Agong yang ada dalam Perlembagaan,” katanya.

Menurut Puad, rakyat tidak akan mempersoalkan sekiranya kajian UIAM itu bertujuan meningkatkan akauntabiliti, profesionalisme dan mengurangkan birokrasi dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, usaha memperkukuh tadbir urus termasuk memastikan Datuk Bandar bebas daripada tekanan politik adalah langkah yang wajar dan boleh dipertimbangkan.

Namun cadangan melantik Datuk Bandar Kuala Lumpur melalui kaedah seperti pilihan raya adalah satu pendekatan yang salah serta bercanggah dengan kerangka perundangan sedia ada.

“Bukan pilihan raya melantik Datuk Bandar Kuala Lumpur. Hannah Yeoh patut lebih peka dan menghormati peruntukan undang-undang serta kuasa Agong,” katanya lagi.

Sebelum ini, Hannah dilaporkan berkata kajian sedang dijalankan berhubung pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI