KPDN rampas 529 telefon bimbit disyaki tiruan bernilai RM150,788

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah merampas 529 unit telefon bimbit tiruan berjenama terkenal dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 11.50 pagi itu adalah hasil aduan serta maklumat yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan yang mengesyaki berlakunya penjualan telefon bimbit tiruan di premis berkenaan.

Menurutnya, operasi itu dijalankan bagi membanteras penjualan dan pengedaran barangan tiruan melibatkan telefon bimbit berjenama terkenal.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 529 unit telefon bimbit telah ditemui dan disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan secara salah pada barangan tersebut.

“Wakil syarikat cap dagangan telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan premis berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesalahan tersebut melibatkan pemilikan, jagaan atau kawalan bagi maksud perdagangan atau pengilangan barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100, yang disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Kesemua barangan serta dokumen berkaitan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM150,788,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak tumpas sindiket jual diesel RM2 seliter

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI