IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mencatatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.57 juta sepanjang tahun 2025 selari dengan pendekatan penguatkuasaan yang lebih tegas, berintegriti dan adil.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, jumlah itu membabitkan 1,275 kes hasil pemeriksaan terhadap 124,917 premis di seluruh daerah di negeri ini.
“Jumlah kompaun yang dikenakan kepada pemilik, pengusaha dan peniaga yang melakukan kesalahan di bawah akta berkaitan KPDN turut meningkat kepada RM1.12 juta berbanding RM358,200 pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi KPDN Perak Bersama Rakan Strategik yang diadakan di MH Hotel di sini malam tadi.
Dalam pada itu, KPDN Perak turut memperkukuh peranan sosialnya melalui pelaksanaan pelbagai program di bawah inisiatif Payung Rahmah bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“KPDN Perak terus giat melaksanakan pelbagai program di bawah inisiatif Payung Rahmah termasuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Bazar Ramadan Rahmah.
“Sepanjang Januari hingga Disember 2025, sebanyak 1,876 Program Jualan Rahmah diadakan berbanding 943 program pada tahun sebelumnya.
“Pengunjung yang menerima manfaat menerusi program ini adalah seramai 2.34 juta orang pada tahun lalu berbanding 1.65 juta pengunjung pada tahun 2024.
“Pada masa sama, jumlah jualan di PJRM Perak meningkat sebanyak RM92.43 juta pada tahun 2025 berbanding tahun 2024 iaitu RM64.08 juta,”ujarnya.
Beliau menegaskan, peningkatan jumlah program dan penerima manfaat membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut dalam memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga berpatutan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sementara itu, Kamalludin berkata, dalam usaha memperkasa kesedaran pengguna, pelbagai program pendidikan dan advokasi pengguna telah dilaksanakan.
“Antara pencapaian membanggakan yang telah direkodkan pada tahun 2025 termasuk kejayaan merangkul Naib Johan Gerakan Pengguna Negeri SeMalaysia, Johan Gerakan Pengguna Siswa SeMalaysia melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh, serta Naib Johan Battle of Buskers diwakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Dari aspek komunikasi media, pencapaian membanggakan telah diraih apabila Media KPDN Perak berjaya memperoleh Tempat Kedua Anugerah Pengurusan Media KPDN Negeri Terbaik Tahun 2024.
“Penglibatan aktif di platform media sosial juga telah menunjukkan impak positif dengan 884,800 pengikut di TikTok dan 151,000 pengikut di Facebook, hasil sokongan berterusan daripada rakan strategik serta rakan media,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN rampas 529 telefon bimbit disyaki tiruan bernilai RM150,788


