IPOH – Seorang bekas pengawal keselamatan didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik iaitu teks bersifat lucah kepada seorang wanita, pada dua tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad, menjatuhkan hukuman itu ke atas Syed Danian Syed Mustapha Basri, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan pindaan, lelaki itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi ‘Messages’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu teks yang lucah sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Hantaran tersebut dilakukan pada jam 7.45 pagi dan 7.50 pagi, 13 Disember 2024 serta 3.34 pagi pada 14 Disember 2024, dan ketiga-tiga hantaran itu telah dilihat mangsa di Industrial Park, Jalan Bemban, di Batu Gajah, dalam Daerah Kinta, pada kedua-dua tarikh sama.
Pertuduhan terhadap Syed Danian dikemukakan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) Akta yang sama.
Ia memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Syed Danian yang tidak diwakili peguam telah memohon mahkamah agar mengenakan hukuman minimum dengan alasan masih perlu menanggung tiga orang anak termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) di samping berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa hadapan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab pula memohon agar makmahah mengenakan hukuman denda tinggi kepada OKS selaras dengan prinsip keadilan dan kepentingan awam.
“Dalam kes di mana komunikasi lucah adalah eksplisit, dihantar berulang kali, dan disasarkan secara khusus kepada mangsa, hukuman denda yang tinggi adalah wajar bagi mencerminkan kecaman mahkamah terhadap perbuatan tersebut.
“Dalam kes yang lebih serius, khususnya jika terdapat elemen gangguan berterusan atau kesan trauma kepada mangsa, hukuman pemenjaraan juga boleh dipertimbangkan bagi tujuan pencegahan khusus terhadap OKS dan pencegahan umum kepada masyarakat,” katanya lagi.
Mahkamah turut memerintahkan agar barang-barang kes dilucut hak kepada MCMC sebagaimana yang diperuntukkan bawah undang-undang.
Mengikut fakta kes, Sektor Penguatkuasaan MCMC telah menerima laporan bertarikh 7 Februari 2025, tentang tindakan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu teks yang lucah sifatnya melalui aplikasi Massages.
Sepasukan anggota polis dan pegawai MCMC kemudian membuat serbuan ke atas OKS dan merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo di Jalan Hala Perpaduan Selatan 5, Taman Saga di Ulu Kinta pada 1.05 tengah hari, 16 April 2025. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki tunjuk isyarat lucah, tunjuk parang direman empat hari


