IPOH – Semua peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan sengaja menaikkan harga barangan secara mendadak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan yang bakal tiba minggu hadapan.
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, walaupun peniaga berhak mencari keuntungan ketika musim perayaan, namun ia perlu dilakukan dengan beretika.
Katanya, ia termasuk dengan mematuhi penetapan harga barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kalau ada peniaga yang hendak cari sedikit keuntungan demi menampung kos bekerja pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, tidak ada masalah.
“Mereka memang ada hak untuk mencari keuntungan, tetapi pengguna juga ada hak untuk menikmati barangan pada kadar harga yang munasabah.
“Dan jika ada pengguna buat laporan kepada KPDN tentang kenaikan harga melampau, kita tidak ada pilihan sebaliknya perlu mengambil tindakan kepada peniaga terbabit. Ini adalah satu contoh yang mana untung seketika tetapi rugi seumur hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina oleh KPDN di Pasar Besar Ipoh, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor.
Selain Kah Leong berkata, berdasarkan maklumat daripada KPDN, bekalan barangan keperluan asas di Perak adalah mencukupi bagi menghadapi perayaan Tahun Baru Cina, bulan Ramadan, serta Hari Raya Aidilfitri.

“Barangan bekalan asas seperti ayam segar, telur dan sebagainya amat mencukupi di Perak, malah ada yang melebihi daripada keperluan semasa.
“Dan oleh sebab bekalan mencukupi, saya merasakan seharusnya tidak ada ruang oleh peniaga untuk menaikkan harga secara mendadak,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 15 jenis barangan ditetapkan pada harga maksimum semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di negeri ini.
Kah Leong memaklumkan, antara barangan tersebut termasuk ikan bawal putih, udang putih, sawi Jepun, kubis bulat import, cili merah, lobak merah, daging babi, ubi kentang, dan sebagainya.
Jelas beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim itu melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“KPDN Perak mempunyai 195 penguat kuasa dan 75 Pegawai Pemantau Harga akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak tumpas sindiket jual diesel RM2 seliter


