IPOH – Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) 2026–2030 yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) disifatkan sebagai ikhtiar yang bermakna dalam usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dasar berkenaan membawa mesej jelas bahawa nilai tanggungjawab, hormat dan ihsan mesti terus diperkasa supaya rumah kekal menjadi tempat yang paling selamat bagi setiap insan.
Katanya, sesebuah negara bergantung kepada kekuatan keluarga setiap rakyat yang mana kerapuhan institusi keluarga mengakibatkan kemajuan sukar bertahan apabila diuji dengan dugaan.

“Apabila keluarga stabil, masyarakat menjadi lebih tersusun dan harmoni. Anak-anak membesar dalam suasana yang tenang dan yakin.
“Tetapi apabila keluarga tertekan akibat kos sara hidup dan cabaran pekerjaan, kesannya bukan sahaja kepada kewangan, malah menjejaskan emosi, pelajaran anak-anak dan keyakinan mereka terhadap masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran DKKN dan Jelajah Sejahtera Madani-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Sabtu.
Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Mengulas lanjut Saarani berkata, pelaksanaan DKKN juga selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan nilai dan kemanusiaan.
Malah kata beliau, ia turut seiring dengan prinsip yang sama diterjemahkan melalui agenda Perak Sejahtera 2030, yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Perak Sejahtera 2030 bukan hanya pelan pembangunan fizikal, tetapi komitmen untuk memastikan kemajuan ekonomi berjalan seiring dengan kekuatan sosial dan kestabilan keluarga.
“Gagasan Malaysia MADANI dan Perak Sejahtera 2030 bergerak seiring, iaitu memandu arah nilai negara, serta memastikan pelaksanaannya benar-benar dirasai rakyat di peringkat negeri,” katanya lagi.

Terdahulu Anwar ketika berucap mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada kerajaan negeri bagi penyelarasan projek-projek kecil di Ulu Kinta dalam kawasan Parlimen Tambun.
Ia disalurkan untuk kerja-kerja pembaikan sistem perparitan, bumbung sekolah yang bocor, penambahan bilangan bilik darjah dan sebagainya.
“Hasil perbincangan dengan pegawai daerah, kita rumuskan bahawa untuk diutamakan projek-projek yang melibatkan kelangsungan rakyat,” ujar Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


