BAGAN DATUK – Polis berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan migran dengan penahanan 36 warga asing termasuk tekong dan ‘transporter’ dalam operasi berasingan, di sini, pada Jumaat dan Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk melakukan serbuan di sebuah kawasan semak berdekatan Kebun Sawit Sungai Payung, Selekoh, pada jam 6.15 petang Jumaat.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seramai 29 migran warga Indonesia dan Bangladesh sedang berkumpul bersama beg pakaian dipercayai cuba untuk diseludup pulang ke Indonesia dengan menggunakan jalan laut.
“Mereka terdiri daripada 25 lelaki dan empat wanita dengan kesemuanya berusia antara 18 hingga 55 tahun.
“Seorang tekong darat warga Indonesia berumur 44 tahun juga berjaya diberkas dalam serbuan berasingan di lokasi yang sama.
“Pada jam 9.40 malam, seorang transporter rakan senegara berusia 31 tahun turut ditahan di sebuah hotel di Hutan Melintang serta merampas sebuah kereta Honda City.
“Mereka berperanan menguruskan makanan dan pengangkutan migran,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Tambah Noor Hisam, pada operasi pada Sabtu, polis berjaya menahan lima migran Indonesia di tepi jalan Kampung Sungai Payung, Selekoh, pada jam 8.56 pagi.

Kata beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada dua orang lelaki dan tiga wanita, dengan masing-masing berusia antara 20 sehingga 36 tahun.
Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 26a Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Tekong dan transporter darat direman di bawah Seksyen 4(5) Akta kesalahan keselamatan (langkah-langkah) khas 2012 selama 28 hari bermula 14 februari 2026.
“Manakala 34 orang migran direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002), serta akan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk pengesahan identiti rekod keluar masuk,” katanya.
Dalam pada itu Noor Hisam berkata, orang ramai diminta untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan Perak aman dan selamat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


