Pergolakan Bersatu berpotensi jadi permulaan kepada pengakhiran – Tok Him

KUALA LUMPUR – Pergolakan yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini bukan sesuatu yang mengejutkan dan tidak harus dianggap sebagai kiamat politik.

Bagaimanapun, jika tidak ditangani dengan disiplin parti, ia berpotensi menjadi permulaan kepada pengakhiran, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Menurut beliau, sebagai individu yang sudah lama berada dalam gelanggang politik Melayu, episod perebutan kuasa dan perpecahan dalaman bukan perkara baharu.

“Saya sudah lihat parti lahir, parti pecah, parti tumbang. Saya pernah disanjung, pernah juga disingkir. Jadi bila saya tengok ribut ini, saya tidak panik. Tetapi saya tahu tanda-tandanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan, dalam politik Melayu, sejarah jarang memihak kepada ‘orang nombor dua’ yang terlalu cepat mahu menjadi ‘nombor satu’.

“Ini bukan soal emosi, ini soal pengalaman. Ramai terlalu yakin arus sudah berpihak kepada mereka. Hakikatnya dalam politik, arus boleh berubah dalam satu malam,” ujarnya.

Mengimbas sejarah, beliau berkata, UMNO pernah diharamkan akibat perpecahan dalaman manakala, Semangat 46 lahir dengan semangat membara namun tidak kekal lama.

“Siapa yang kekal, siapa yang tenggelam? Sejarah sudah menjawab. Perpecahan tidak pernah benar-benar menguatkan mana-mana pihak dalam jangka panjang. Yang untung selalunya musuh,” katanya.

Beliau turut merujuk era reformasi yang menyaksikan laungan kuat di jalanan, namun menegaskan bahawa dalam politik, keputusan akhirnya ditentukan oleh struktur dan disiplin parti.

“Suara paling kuat di luar dewan belum tentu menang dalam dewan. Itu realiti yang ramai suka lupa,” katanya.

Ibrahim turut mengimbau episod pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Datuk Seri Najib Razak yang membawa kepada penubuhan Bersatu bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Namun, akhirnya Tun Mahathir sendiri tersingkir daripada parti yang diasaskannya. Apa pengajarannya? Dalam politik, tiada siapa kebal. Hari ini orang tepuk bahu kita, esok orang sama boleh angkat tangan menyokong orang lain,” ujarnya.

Beliau berkata, perkara sama pernah berlaku dalam Parti Islam Se-Malaysia (Pas) apabila keputusan muktamar membawa kepada perpecahan dan pembentukan wadah baharu.

“Politik bukan medan untuk merajuk. Politik adalah medan disiplin dan kesetiaan kepada keputusan organisasi,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak dalam Bersatu yang mahu mencabar kepimpinan supaya menggunakan saluran parti secara terbuka dan berhemah.

“Kalau mahu mencabar presiden, gunakan saluran parti. Lawan secara terbuka. Jangan tikam belakang. Jangan guna gerakan senyap atau main persepsi seolah-olah gelombang besar sudah bangkit sedangkan hakikatnya hanya gema di media sosial,” katanya.

Menurutnya, sepanjang karier politik, beliau telah menyaksikan pelbagai percaturan dan naratif simpati yang dibina untuk meraih sokongan.

“Ada yang pandai bermain simpati, ada yang bina naratif kononnya dizalimi. Tetapi bila undi dikira, barulah nampak siapa ada sokongan sebenar dan siapa sekadar bunyi kuat,” katanya.

Tambah beliau, dalam politik Melayu, pengikut mungkin bersorak hari ini namun apabila keadaan reda, kebanyakan akan kembali menyesuaikan diri dengan struktur kuasa yang sah.

“Parti tidak pernah runtuh hanya kerana musuh luar. Parti runtuh apabila orang dalam hilang sabar, hilang disiplin dan terlalu ghairah mahu cepat sampai ke puncak.

“Kesabaran bukan kelemahan. Disiplin bukan bererti penakut. Memahami realiti kuasa bukan bermaksud tunduk, tetapi bermaksud bijak,” katanya.

Beliau yang mengakui telah melalui pengalaman pahit sepanjang perjuangan politiknya berkata setiap episod getir itu memberi pengajaran berharga.

“Ribut ini akan berlalu. Soalnya bukan siapa paling kuat bersuara hari ini, tetapi siapa yang masih berdiri apabila semuanya selesai. Sejarah tidak pernah menipu, yang selalu lupa ialah manusia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI