IPOH – Paluan gendang Cina dan tarian singa menyambut ketibaan pengunjung di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan pada hari ini.
Program anjuran Tourism Malaysia itu turut diadakan lapangan terbang utama di seluruh negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) dan KLIA 2, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah sempena kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak mendapati, program di LTSAS meraikan ketibaan dua penerbangan antarabangsa dari Singapura menerusi Scoot dan Batik Air, serta satu penerbangan domestik dari Johor melalui AirAsia.
Kehadiran mereka disambut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man; Pengerusi Malaysian Association of Hotels Perak Chapter (MAH), Tony Wong; Pengerusi MATTA Perak Chapter Wendy Shin Wen Ying bersama kehadiran rakan dan penggiat industri pelancongan di negeri ini.

Foto: Syakir Yusof
Buah limau mandarin diedarkan sebagai simbol tradisional masyarakat Cina selain cenderahati rasmi VM2026 turut diberikan sebagai tanda penghargaan dan alu-aluan.
Pengunjung berpeluang menyaksikan upacara tradisional Yee Sang yang melambangkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama, selain pameran pakaian tradisional Malaysia yang menampilkan kepelbagaian budaya negara.
Maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, turut tampil dengan busana bertemakan perayaan dan menyediakan peluang bergambar interaktif, sekali gus memperkaya pengalaman ketibaan pengunjung ke sini.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, inisiatif berkenaan menonjolkan kekayaan warisan budaya berbilang kaum di Malaysia, selain memperkukuh reputasi negara sebagai destinasi pelancongan yang mesra, meriah dan inklusif.

Foto: Syakir Yusof
Menurutnya, program itu bertujuan meraikan kedatangan pelancong antarabangsa serta mempromosikan hospitaliti Malaysia kepada pelawat dari pelbagai negara termasuk China, Hong Kong dan Chinese Taipei.
“Program ini dilaksanakan di beberapa airport terpilih di negara, contohnya seperti di KLIA 1, KLIA 2, beberapa lapangan terbang terpilih termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Ia diadakan bertujuan untuk meraikan kedatangan pelancong daripada negara-negara seperti China, Hong Kong, Chinese Taipei, Singapura dan sebagainya selain menunjukkan kepada mereka hospitaliti rakyat Malaysia serta menggalakkan mereka untuk tinggal lebih lama lagi di negara ini,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Op Khas Tahun Baharu Cina: Pemandu positif dadah antara kesalahan dikesan


