Siasatan SPRM perlu dipantau badan bebas, Azam wajar direhatkan sementara – Dr Akmal

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa siasatan terhadap kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipantau badan bebas termasuk Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas berwibawa.

Selain mengesyorkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki wajar direhatkan sementara bagi menjamin integriti dan ketelusan proses siasatan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, perkara itu wajar diberi perhatian serius memandangkan SPRM merupakan institusi yang berdiri atas asas paling penting iaitu kepercayaan rakyat.

Menurut beliau, tanpa kepercayaan tersebut, apa juga siasatan, pendakwaan dan usaha memerangi rasuah akan sentiasa dipersoalkan malah boleh dilihat sebagai tidak mempunyai legitimasi moral di mata rakyat.

“Dalam mana-mana negara yang serius memerangi rasuah, integriti institusi adalah lebih penting daripada mempertahankan individu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas isu siasatan yang melibatkan kepimpinan tertinggi SPRM, beliau menegaskan, persoalan pokok bukan sekadar tertumpu kepada keputusan siasatan sebaliknya sejauh mana proses itu diyakini bebas, telus dan tidak mempunyai konflik kepentingan.

“Jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya nanti tetap akan dipersoalkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda UMNO dengan penuh hormat tetapi tegas mencadangkan agar jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan dipantau badan bebas bagi mengelakkan persepsi wujudnya situasi ‘kerajaan menyiasat kerajaan’.

Pada masa sama, Dr Akmal berpendapat, langkah paling bertanggungjawab ketika siasatan sedang berjalan ialah merehatkan sementara Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga siasatan selesai.

Katanya, langkah itu merupakan amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti dan bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kepada Azam, prinsipnya mudah iaitu ‘berani kerana benar’.

“Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas dan telus.

“Sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat. Namun, jika sebaliknya berlaku, maka proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras.

“Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan. Kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI