IPOH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot fiber tanpa pendaftaran bersama tiga kru Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar.
Maritim Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mereka ditahan dalam satu operasi khas di kedudukan kira-kira 5.8 batu nautika barat daya Muara Kuala Terong, pada jam 5.15 petang Selasa.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot fiber tersebut beroperasi secara haram tanpa nombor pendaftaran yang sah.
“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan menggaji ketiga-tiga warga asing terbabit tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Selain itu, ketiga-tiga lelaki kru bot berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963,” katanya.
Tambah beliau, kesemua individu terbabit ditahan serta-merta untuk siasatan lanjut dengan bot dan kru telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat.
“Pihak Maritim Malaysia memberi amaran keras bahawa tindakan undang-undang maksimum akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan melanggar undang-undang negara,” katanya.
Tegas Mohd Hairil, penglibatan PATI dalam sektor perikanan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berdegil,” katanya. -MG Perak


