KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2026 meningkat sebanyak 12.6% tahun ke tahun kepada RM272.37 bilion, dipacu oleh pengembangan eksport untuk bulan ketujuh berturut-turut yang mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 19.6% kepada RM146.87 billion.
Manakala import meningkat secara sederhana sebanyak 5.3% kepada RM125.50 bilion.
Lebihan dagangan meneruskan momentum positif untuk bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020, berjumlah RM21.37 bilion.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, prestasi perdagangan yang kekal kukuh ini mencerminkan daya tahan serta daya saing negara dalam perdagangan antarabangsa pada awal tahun.
“Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Januari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MITI, prestasi eksport bulanan yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang mencatat pertumbuhan sebanyak 39.5% atau hampir RM20 bilion.
Pertumbuhan eksport turut disokong oleh kenaikan eksport barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Dari segi pasaran, eksport ke kesemua rakan dagang utama menunjukkan peningkatan, diterajui oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh ke
China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah, manakala eksport ke ASEAN naik pada kadar yang lebih sederhana.
Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, khususnya ke Hong Kong, Hong Kong, Korea, Mexico, India, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan New Zealand.
Eksport ke Taiwan dan Hong Kong merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. – MalaysiaGazette


