KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P. Ramasamy, mempersoalkan tujuan sebenar penganjuran Kongres DAP yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini, dengan mendakwa ia tidak membawa sebarang kesan nyata terhadap hubungan parti itu dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Ramasamy, DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen dan sejumlah kerusi Dewan Undangan Negeri bakal membuat keputusan sama ada untuk kekal dalam kerajaan atau meletakkan jawatan.
Namun, katanya, penjelasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menunjukkan tindakan itu tidak bermakna parti berkenaan akan menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak kira apa keputusan kongres, DAP akan terus menyokong kerajaan. Jika begitu, mengapa perlu diadakan kongres sekiranya keputusan yang dicapai tidak memberi sebarang kesan terhadap Kerajaan Persekutuan atau rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH)?” soalnya dalam satu kenyataan.
Ramasamy turut mempersoalkan kegagalan parti itu menterjemahkan pandangan akar umbi kepada tekanan sebenar terhadap kerajaan bagi melaksanakan reformasi yang dijanjikan.
Mengulas prestasi DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau berkata, parti itu menerima tamparan daripada pengundi, sekali gus mendorong pimpinan DAP mendesak Kerajaan Persekutuan mempercepatkan agenda reformasi.
Dalam konteks itu, Anthony sebelum ini dilaporkan memberi tempoh enam bulan kepada kerajaan untuk melaksanakan reformasi, dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) antara isu yang menjadi fokus utama.
Bagaimanapun, Ramasamy mendakwa sehingga kini tiada tindakan jelas diambil kerajaan bagi meyakinkan DAP bahawa reformasi sedang diusahakan, malah isu pengiktirafan UEC didakwa tidak berada dalam keutamaan kerajaan.
Beliau berpandangan kongres DAP itu lebih bertujuan meyakinkan akar umbi kepimpinan parti sedang mengambil tindakan, walaupun hakikatnya keputusan kongres berkenaan tidak akan memberi tekanan sebenar kepada kerajaan.
“Kerajaan tahu DAP akan terus menyokongnya tanpa mengira keputusan kongres. Oleh itu, tiada dorongan untuk berubah atau melaksanakan reformasi tulen,” katanya.
Sehubungan itu, Ramasamy menyifatkan kongres tersebut sebagai membuang masa dan tidak jujur kepada akar umbi yang mengharapkan perubahan sebenar, selain mendakwa ia lebih bersifat latihan perhubungan awam bagi memastikan parti kekal relevan. menjelang pilihan raya umum dan negeri akan datang. – MalaysiaGazette


