IPOH – Resipi rahsia turun temurun yang diwarisi lebih 100 tahun terus menjadi tradisi dalam penyediaan bubur lambuk di Masjid India Muslim Ipoh yang cukup popular dalam kalangan masyarakat setempat pada setiap Ramadan.
Pengerusinya, Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff berkata, tradisi itu bukan sahaja mengekalkan resipi asal pengasas masjid, malah mengekalkan konsep lama termasuk tidak menggalakkan penggunaan plastik sebaliknya mengalu-alukan orang ramai membawa bekas sendiri.

Menurutnya, pengagihan bubur lambuk itu mampu memberi manfaat kepada sekitar 700 hingga 800 orang setiap hari sepanjang Ramadan, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Tambahnya, permintaan semakin meningkat saban tahun seiring pertambahan jumlah periuk masakan daripada hanya dua atau tiga suatu ketika dahulu kepada tujuh periuk kini.
“Resipi yang kami gunakan ialah resipi turun-temurun dan rahsia. Antara bahan yang digunakan ialah daging kambing dan tujuh jenis kekacang yang memberi tenaga seperti kacang kuda, jagung, kacang hijau, kacang merah serta kacang putih.

“Kami tidak meletakkan daging lembu memandangkan ada bangsa lain yang turut ambil bubur tersebut. Setiap hari kami akan memasak bubur lambuk kekacang dan daging kambing selang sehari sehingga akhir Ramadan.
“Setiap hari kami menggunakan antara 70 hingga 75 kilogram beras untuk penyediaan bubur tersebut yang bermula dari pagi dan tamat sekitar 12 tengah hari.
“Selain itu, kami juga tidak menetapkan sebarang had dan pemberian bubur lambuk ini bukan untuk orang Islam sahaja. Orang India datang, orang Cina datang, semua datang dan boleh ambil. Jadi, memang tiada had,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan baru-baru ini.

Katanya, bubur lambuk itu akan diedarkan bermula jam 4.30 petang dan kebiasaannya, menjelang 5.15 petang semuanya sudah habis.
“Sebahagian daripadanya akan diasingkan lebih awal untuk juadah berbuka puasa di masjid ini yang melibatkan kira-kira 150 orang setiap hari,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shaik Mujibur Rahman berkata, bagi menjayakan pemberian bubur lambuk ini, pihak masjid menerima sumbangan dalam bentuk wang dan bahan-bahan daripada pelbagai pihak untuk memasak sajian berkenaan.

“Ya, kami menerima sumbangan. Kadang-kadang mereka hantar beras, kekacang dan ada bagi infak dalam akaun masjid pun kami terima.
“Semua yang diinfak sempena bulan Ramadan akan dihabiskan dalam bulan Ramadan dan tidak akan disimpan,” jelasnya.

Beliau yang sudah 22 tahun bersama masjid itu berasa gembira dan menganggapnya sebagai satu tanggungjawab untuk memantau setiap hari proses memasak sehingga ke pengedaran bubur lambuk kepada orang ramai.
“Pada waktu pagi saya akan datang, kemudian saya akan datang semula pada tengah hari dan petang. Seboleh-bolehnya, saya akan berada di sini supaya semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Jika ada kekurangan, kami akan cuba perbetulkan,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


