LUMUT – Kementerian Kesihatan diminta memberi tumpuan khusus membesarkan Hospital Seri Manjung (HSM) susulan kadar penggunaan katilnya mencecah 91 peratus dan merupakan antara tertinggi di Perak.
Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, meskipun sebuah bangunan baharu telah dibina dan mula beroperasi, kemudahan sedia ada itu masih belum mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, kepesatan kegiatan ekonomi di daerah Manjung termasuk perkembangan kawasan perindustrian dijangka meningkatkan jumlah penduduk, sekali gus menambah keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.
“Seperti yang kita sedia maklum, hospital ini telah beroperasi lebih 30 tahun sejak tahun 1995 dan unjuran yang dibuat oleh kerajaan pada waktu itu melihat dari segi penduduk daerah Manjung.
“Jadi tentunya selepas 30 tahun, keadaan di hospital ini memerlukan pembesaran tambahan lagi daerah Manjung merupakan daerah yang paling pesat berkembang dari segi kegiatan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Santuni Pesakit Hospital Seri Manjung Bersempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di Hospital Seri Manjung, di sini, pada Sabtu.
Tambah Zambry, pembangunan beberapa kawasan perindustrian sekitar Manjung seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Kawasan Perindustrian Kampung Acheh dan lain-lain lagi membawa kepada pertambahan penduduk.
Katanya lagi, perkara berkenaan pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan beliau ke daerah Manjung tahun lalu, termasuk komitmen untuk meneliti keperluan tambahan fasiliti dan tenaga kerja.
“Saya berharap di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan memberi sokongan terhadap keperluan Hospital Seri Manjung ini. Bagaimanapun, usaha ini bukan bermakna kita meminggirkan hospital lain di Perak.
“Saya memahami keutamaan yang perlu mereka berikan kepada hospital-hospital lain. Paling utama ialah keutamaan yang diberikan untuk Hospital Seri Manjung tanpa menafikan keperluan di hospital-hospital lain,” katanya. -MG Perak


