KAMPAR – Sebanyak 775 premis di seluruh Perak telah diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi tempoh Januari sehingga Februari bersempena dengan Ramadan kali ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, tiada sebarang arahan penutupan premis sepanjang pemeriksaan yang merupakan sebahagian aktiviti penguatkuasaan dan kualiti makanan.
Menurut beliau, dalam tempoh sama sebanyak 99 sampel makanan telah diambil untuk analisis melibatkan mikrobiologi (65); Aditf (4); Residu Dadah Veterina (6); Mikologi (16); Residu Racun Perosak (6) dan Fizikal (3).
“Kita juga telah melaksanakan tindakan rampasan di 64 premis dengan jumlah RM614.80.

“Langkah penguatkuasaan ini diambil lebih awal sebelum Ramadan mencapai kemuncak bagi memastikan pengendali makanan mematuhi keperluan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Pelancaran Ops Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Tapak Bazar Ramadan Dataran Bandar Baru Kampar, pada Selasa.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Feisul Idzwan Mustapha dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Suqairy Alias.
Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, sebanyak 94 buah tapak bazar ramadan dibuka di 12 daerah dengan Kinta merekodkan jumlah paling tinggi sebanyak 27 diikuti Manjung (10) dan Larut Matang dan Selama serta Kuala Kangsar masing-masing 10 tapak.

“Dari segi jumlah gerai yang beroperasi pula adalah sebanyak 6,284 buah di 12 daerah dengan Kinta sebanyak 1,873 gerai,” katanya.
Beliau berkata, setakat lima hari pertama bazar Ramadan beroperasi tahun ini, tiada laporan kes keracunan makanan diterima daripada mana-mana daerah di Perak.
Ujarnya, penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan makanan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Pemeriksaan ini akan melibatkan 12 daerah dengan keseluruhan 94 tapak bazar dan 6,284 gerai yang direkodkan beroperasi tahun ini,” katanya. -MG Perak


