GOPENG – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori ‘bonded’ di Kilometer (km) 294.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada jam 5.38 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi penyelamatan.
“Setibanya di tempat kejadian didapati kemalangan melibatkan dua buah lori jenis bonded dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
“Pemandu MPV berusia lingkungan 34 tahun mengalami kecederaan dan tidak dapat keluar dari kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi berkata, mangsa dipercayai tidak dapat berbuat demikian atas faktor fizikalnya, manakala kedua-dua pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, pasukan bomba melaksanakan operasi penyelamatan dengan membantu membawa mangsa keluar dari MPV sebelum diletakkan di atas pengusung.
“Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir, sebelum dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans,” katanya lagi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Norazhan Norfauzi itu tamat sepenuhnya pada jam 6.15 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


