PARIT – Lebih 1,500 nelayan darat yang terkesan akibat kemarau di Perak menerima bantuan secara sekali beri (one-off) berupa bakul makanan sumbangan daripada kerajaan negeri.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia sebagai inisiatif membantu meringankan beban mereka yang terjejas pendapatan ekoran cuaca panas dan sungai mengering.
“Kerajaan negeri telah mengarahkan untuk memberi bantuan one-off kepada nelayan-nelayan yang mempunyai lesen di mana mereka semata-mata mencari nafkah dengan menangkap ikan yang terjejas akibat kemarau.

“Kita sudah mula beri bantuan berupa bakul makanan ini di beberapa tempat seperti Sungai Siput, Kuala Kangsar, Parit hari ini dan lain-lain daerah akan menyusul,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke program Jelajah Sejahtera Agro Sektor Akuakultur@DUN Belanja di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini, pada Khamis.
Pada majlis berkenaan seramai 86 nelayan darat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja menerima bantuan kotak makanan berupa barang asas.

Mengulas mengenai situasi semasa air Sungai Perak yang masih kering, Zolkafly berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk pembenihan awan.
Jelas beliau, hujan sejak beberapa hari ini memberi keyakinan bahawa paras air sungai akan kembali normal dan membawa sinar kepada nelayan dan petani.
“Alhamdulillah kita lihat ada perubahan dengan hujan pun sudah ada, mudah-mudahan air Sungai Perak kembali kepada asal berkat bulan Ramadan ini,” katanya. -MG Perak


