KPDN perkenal perlindungan, ganjaran kepada pemberi maklumat

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memuktamadkan cadangan pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan memasukkan peruntukan baharu yang memberi perlindungan serta ganjaran kepada pemberi maklumat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada reformasi undang-undang dan institusi yang lebih menyeluruh bagi memperkukuh ekosistem persaingan sihat dalam pasaran negara.

Menurut beliau, cadangan tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai pihak tampil menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang persaingan tanpa rasa takut atau bimbang terhadap sebarang tindakan balas.

“(Bagi pindaan) Akta Persaingan kita wujudkan peruntukan khas untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat di dalam Akta Persaingan 2010.

“Kedua adalah untuk memberikan ganjaran juga kepada mereka yang memberikan maklumat tersebut perlindungan dan juga ganjaran jadi ini antara reformasi undang-undang dan institusi yang akan kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Turut hadir Menteri KBS, Dr Mohamed Taufiq Johari dan Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun.

Dalam sidang media sama, Armizan menjelaskan, pindaan itu bukan sekadar memperkemas kerangka perundangan berkaitan persaingan, malah melibatkan penambahbaikan terhadap struktur dan peranan MyCC agar lebih berkesan dalam penguatkuasaan.

Beliau turut menegaskan, perlindungan kepada pemberi maklumat amat penting bagi memastikan sebarang aktiviti kartel atau pakatan sulit yang menjejaskan pasaran dapat dikesan lebih awal dan diambil tindakan sewajarnya.

“Bukan hanya laksanakan reform akta persaingan tersebut bagi memperkemas lagi kerangka perundangan terkait dengan persaingan tetapi juga reform institusi suruhanjaya persaingan supaya menggerakkan usaha mengekalkan sebarang bentuk kartel di bawah undang-undang persaingan,” katanya.

Katanya, pemberian ganjaran pula dilihat sebagai insentif tambahan supaya maklumat yang disalurkan adalah tepat, berintegriti dan membantu siasatan pihak berkuasa, sekali gus memastikan pasaran negara kekal adil, kompetitif dan bebas daripada manipulasi yang menekan kos sara hidup rakyat.

Untuk rekod, KPDN dijadual membentangkan pindaan bagi Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dan Akta Persaingan 2010 pada sidang Parlimen akan datang, susulan keputusan Tribunal Rayuan Persaingan sebelum ini yang menolak empat rayuan syarikat penternak terhadap keputusan pelanggaran Akta Persaingan.

Pindaan itu bertujuan memperkasakan kapasiti dan bidang kuasa MyCC dalam membanteras kartel yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI