KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemberian dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus bagi kedua-dua simpanan konvensional dan syariah mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan KWSP serta keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.
Sambil menyambut baik prestasi itu, Perdana Menteri berkata, pencapaian tersebut berjaya dilakar meskipun dalam keadaan pasaran global yang mencabar.
“Kerajaan MADANI menyambut baik prestasi ini dan akan terus melaksanakan dasar yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, agar setiap warga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi kedua-dua simpanan konvensional dan syariah dengan jumlah agihan masing-masing RM67.1 bilion RM12.5 bilion.
Ia menjadikan keseluruhan jumlah agihan dividen bagi tahun kewangan berakhir 2025 KWSP sebanyak RM79.6 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP sepanjang 2025 mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024. – MalaysiaGazette


