Video tular: Lelaki panjat tiang elektrik, curi kabel ditahan polis

IPOH – Tindakan nekad seorang lelaki memanjat tiang elektrik dipercayai untuk mencuri kabel di Kampung Baru Jelapang di sini, sebagaimana dalam video tular media sosial, membawa padah apabila ditahan pihak polis pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu disedari seorang penduduk selepas melihat suspek yang juga lelaki warga tempatan berusia 50 tahun sedang memanjat tiang elektrik dan memotong kabel Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, terdahulu penduduk berkenaan telah terdengar bunyi anjing peliharaannya sedang menyalak sebelum terlihat suspek sedang melakukan aktiviti tersebut.

“Tindakan suspek telah dirakam penduduk sebelum menghubungi ketua kampung bagi memaklumkan perkara itu.

“Tidak lama kemudian, ketua kampung tiba di tempat kejadian dan meminta suspek turun untuk menyerah diri sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, susulan itu suspek telah berjaya ditahan dan diserahkan kepada anggota dari Balai Polis Jelapang yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut Abang Zainal Abidin, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut.

Kata beliau, antaranya adalah satu unit alat pemotong wayar, satu gunting berwarna hitam, satu bilah pisau potong berwarna hitam bertulisan ‘Kiwi’ serta satu unit playar.

“Semua peralatan tersebut telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan mencuri.

“Suspek telah direman selama dua hari bermula 4 Mac bagi membantu siasatan lanjut,” katanya lagi.

Terdahulu, tular video berdurasi 47 saat di media sosial memaparkan aksi nekad seorang lelaki memanjat tiang elektrik serta memotong kabel yang dipercayai berkaitan kegiatan mencuri kabel.

Tindakan tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet yang menyifatkannya sebagai berbahaya selain berani melanggar undang-undang kerana dilakukan pada waktu siang dan secara terbuka. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis tahan empat lelaki disyaki curi kabel

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI