GERIK – Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di sini yang bertindak melarikan diri menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum terbabas dan merempuh dinding sebuah rumah di Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba melarikan diri daripada dikejar polis dari Gerik dan Pengkalan Hulu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian curi kabel TM di Kampung Star Kecil, Kerunai dekat sini sekitar jam 9.52 malam tadi.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu berjaya mengesan sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki terbabit di persimpangan Taman 1 Malaysia pada jam 11.38 malam.
“Anggota MPV telah mengejar kenderaan tersebut sebelum mendapat bantuan daripada MPV IPD Gerik. Suspek kemudian melarikan diri menghala ke Jalan Gerik–Kupang sehingga memasuki kawasan Baling, Kedah.
“Salah seorang suspek bertindak agresif dengan membaling alat pemotong, paku serta kabel ke arah MPV bagi menghalang polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abdul Samad berkata, kenderaan yang dipandu suspek akhirnya terbabas dan merempuh dinding sebuah rumah di Kampung Parit Panjang.
Menurutnya, pemilik rumah yang tinggal bersama ibu dan adik perempuannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil maklumat daripada pemilik rumah, kedua-dua suspek telah melarikan diri sejurus selepas kemalangan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan mendapati kenderaan pacuan empat roda itu merupakan kenderaan sewa.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan turut menemui 20 gulung kabel, sebuah telefon bimbit jenis Realme, tiga pemotong kabel serta satu pencungkil besi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri kabel,“ jelasnya
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki dikhuatiri lemas di empangan disyaki terlibat kegiatan curi kabel TNB


