IPOH – Polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel selepas satu rakaman video kejadian tersebut tular di aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya mengesan rakaman video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok dikenali sebagai Faiz (Social Activist) yang memaparkan kejadian cubaan mencuri kabel di kawasan Jalan Tambun, di sini.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah pusat pakar mata sekitar jam 4.05 pagi Jumaat.
“Berdasarkan rakaman video berkenaan, suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih dan telah membuka penutup lurang (manhole) di tengah jalan bagi tujuan mencuri kabel.
“Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri dengan memecut kenderaan tersebut selepas menyedari perbuatannya dirakam oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan mala mini.
Beliau berkata, polis sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek yang terlibat termasuk mendapatkan maklumat daripada saksi serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan.
“Polis memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua lelaki curi kabel dikejar polis, rempuh rumah sebelum melarikan diri


