IPOH – Tiga lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika disyaki cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan tanah lapang di Taman Rapat Perdana, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, Balai Polis Kampung Rapat telah menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kejadian itu di kawasan tiang elektrik TNB sekitar jam 10 pagi.
Katanya, susulan itu sepasukan anggota polis telah digerakkan ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kesemua lelaki yang berusia antara 35 hingga 50 tahun itu dipercayai terkena renjatan elektrik semasa cuba memotong kabel elektrik pada tiang TNB berkenaan.
“Kesemua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya di sini, pada Isnin.
Justeru Muhammad Najib berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
Kata beliau lagi, kes turut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
Ujar Muhammad Najib, orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta untuk menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah seperti mencuri kabel.
“Ini kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


