Pertikaian terbuka Guan Eng–Kon Yeow perlu dihentikan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan pertikaian terbuka antara bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan penyandang jawatan itu, Chow Kon Yeow berhubung kadar cukai tanah baharu perlu dihentikan segera.

Beliau berkata, kepimpinan pusat DAP memandang serius dan berasa terganggu dengan polemik berterusan itu yang disifatkan sebagai tidak sihat serta tidak sesuai, terutama ketika negara berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.

“Ini bukan cara yang wajar untuk menangani perbezaan pandangan dalam isu dasar awam. Disiplin parti mesti sentiasa dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Guan Eng sebagai bekas Setiausaha Agung DAP dan bekas Ketua Menteri sepatutnya memahami kepentingan disiplin parti, termasuk menyalurkan sebarang perbezaan pandangan melalui saluran dalaman yang telah ditetapkan.

“Sebarang ketidaksetujuan, khususnya daripada penyokong belakang terhadap keputusan kerajaan negeri, tidak seharusnya dibangkitkan secara terbuka sehingga boleh menjejaskan kepimpinan Ketua Menteri dan kerajaan negeri sendiri,” tegasnya.

Dalam masa sama, Loke berkata, Kon Yeoh juga perlu mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan kerana ia melibatkan kepentingan awam serta suara pelbagai pihak berkepentingan.

Beliau menambah, semakan kadar cukai tanah di kawasan komersial mungkin diperlukan bagi menjamin kelestarian kewangan kerajaan negeri, namun pendekatan yang diambil mesti seimbang, responsif dan berhemah.

“Terutamanya melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah awam, kadar cukai tidak wajar dinaikkan secara berlebihan dan seharusnya kekal pada kadar nominal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pertikaian terbuka tersebut perlu dihentikan serta-merta dan disiplin parti mesti dipatuhi oleh semua pihak.

“Saya akan memanggil satu mesyuarat melibatkan kedua-dua pemimpin bagi menyelesaikan isu ini secara baik,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan utama parti adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta menjaga kepentingan awam.

“Pemimpin parti perlu mengelakkan pertelingkahan terbuka dan sebaliknya bekerjasama secara konstruktif demi kepentingan rakyat,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI