IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara dua anggotanya bagi menjalankan siasatan berhubung video tular yang mendakwa kenderaan jabatan itu melanggar garisan berkembar di Lebuh Raya Timur-Barat di Jeli, Kelantan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, susulan itu, kedua-dua anggota terbabit telah diarahkan hadir ke ibu pejabat bagi tujuan penggantungan tugas.
“Kita telah mengambil tindakan terhadap anggota yang terlibat untuk siasatan lanjut berhubung video tular melanggar garisan berkembar itu.
“Saya juga telah mengarahkan kedua-dua anggota tersebut digantung tugas sehingga siasatan dalaman selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pusat Kawalan Menora, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, pada Isnin.
Hadir sama Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa siasatan yang dijalankan oleh pasukan siasatan JPJ berhubung perkara itu akan dilaksanakan secara telus.
Tegas beliau, JPJ tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota sekiranya didapati melakukan sebarang kesalahan.
“Proses siasatan dalaman sedang dijalankan terhadap anggota terbabit. Jika terbukti wujud pelanggaran undang-undang, bukan sahaja notis saman akan dikeluarkan, malah tindakan tatatertib juga akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aedy Fadly memaklumkan bahawa insiden kemalangan maut yang didakwa melibatkan kenderaan JPJ di Kota Bharu, Kelantan, masih dalam siasatan polis.
Bagaimanapun, jelas beliau, kejadian itu tidak berlaku pada hari yang sama seperti yang didakwa dalam hantaran dan komen di media sosial.
Menurut beliau, kejadian melanggar garisan berkembar itu berlaku di Hentian Damai, Lebuh Raya Timur-Barat di Jeli pada jam 3 petang, 19 Mac, manakala kemalangan maut pula berlaku di Kilometer 85.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli pada jam 4.30 petang keesokan harinya.
“Saya boleh sahkan bahawa ia melibatkan kenderaan yang sama dan anggota yang sama berada di dalam kenderaan tersebut. Walau bagaimanapun, kedua-dua kejadian berlaku pada dua hari yang berbeza.
“Oleh itu, diharap pihak luar tidak menimbulkan spekulasi dengan mendakwa kedua-dua kejadian itu berlaku pada hari yang sama, kerana ia tidak benar,” ujarnya.
Terdahulu tular di laman sosial Threads apabila salah seorang pengguna mendakwa sebuah kenderaan JPJ dibawa dalam keadaan berbahaya dengan memotong garisan berkembar di laluan sempadan antara Gerik dan Jeli.
Hantaran itu juga didakwa cuba mengaitkan ia dengan kemalangan dengan sebuah kenderaan awam sehingga seorang mangsa maut di Kampung Rahmat Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan.
Perkara itu juga turut dinafikan JPJ Kelantan selain memaklumkan siasatan lanjut adalah di bawah bidang kuasa polis dan orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan lengkap dijalankan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


