PMR 2026 Perak perkukuh peranan KPKT dekati rakyat

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperkukuh peranannya dalam mendekati rakyat menerusi penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak yang akan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru dari 3 hingga 5 April ini.

Program berskala besar itu menyaksikan Kerajaan Negeri Perak bertindak sebagai tuan rumah, manakala majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, 4 April.

Mengangkat tema ‘Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni’, PMR 2026 Perak menonjolkan komitmen KPKT dalam memperkasa pembangunan bandar mampan, memperluas akses kepada perumahan berkualiti serta membina komuniti yang inklusif dan sejahtera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebagai kementerian peneraju, KPKT komited menjadikan program tersebut sebagai platform terbaik untuk rakyat merasai sendiri manfaat pelbagai inisiatif kerajaan.

“Program ini membuka peluang kepada rakyat untuk melihat, merasai dan mendapat manfaat terus daripada perkhidmatan serta inisiatif kerajaan, khususnya dalam aspek perumahan, perbandaran dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan pelbagai pengisian menarik yang disediakan sepanjang tiga hari penganjuran.

Antara tarikan utama termasuk penyampaian perkhidmatan kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat, perkhidmatan kesihatan, Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI, peluang pekerjaan, festival makanan tempatan serta jualan usahawan tempatan.

Selain itu, pelbagai program komuniti turut dianjurkan seperti pertukaran topi keledar, pertukaran minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma serta pengagihan biji benih dan anak pokok. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran aset pertahanan dan keselamatan.

Sebagai nilai tambah, KPKT turut menyelaras pelaksanaan Program Satelit di sekitar Ipoh dan Tambun bermula 28 Mac hingga 3 April ini, melibatkan inisiatif perumahan, keselamatan komuniti, pendigitalan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), program landskap serta aktiviti komuniti MADANI.

Penganjuran PMR 2026 Negeri Perak ini mencerminkan sinergi kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan inklusif, mampan dan berfokuskan rakyat.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program ini serta merebut peluang menikmati pelbagai manfaat dan perkhidmatan yang disediakan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak lokasi pertama PMR 2026, bakal dirasmikan PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI