IPOH – Seramai 1,008 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Perak berjaya memperoleh keputusan semua A berbanding 937 calon pada tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, keputusan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 0.23 peratus daripada 3.64 peratus pada tahun 2025 berbanding 3.41 peratus tahun 2024.
Katanya, daripada keputusan itu, Perak berjaya merekodkan peningkatan bilangan calon yang memperoleh keputusan semua A+ daripada sembilan orang kepada 26 orang untuk tahun 2025.
“Calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan juga A- pula seramai 982 orang iaitu menyumbang kepada 3.54 peratus pada tahun 2025 berbanding 928 orang iaitu 3.38 peratus pada SPM tahun 2024. Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 54 orang calon.
“Secara keseluruhannya, ia membabitkan 31,702 calon untuk SPM 2025 dari 28,058 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan melibatkan 80 subjek yang ditawarkan di 296 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negeri” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pengumuman keputusan SPM 2025 peringkat negeri di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, pada Khamis.
Menurut Zulkafli, pencapaian keseluruhan calon SPM di negeri ini turut menunjukkan peningkatan dengan Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun 2025 mencatatkan 4.49 berbanding 4.63 pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, peningkatan tersebut dicatat bagi tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 2023 yang memperoleh GPN 4.75
“Berdasarkan GPN, jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar juga adalah sebanyak 0.04.
“GPN calon bandar ialah 4.49 mata pada SPM tahun 2025 berbanding dengan 4.63 mata pada SPM tahun 2024.
“GPN calon di luar bandar pula ialah 4.45 mata pada SPM tahun 2025 berbanding dengan 4.64 mata pada SPM tahun sebelumnya,” katanya lagi.
Tambah beliau, SPM 2025 turut menyaksikan seramai 650 orang calon daripada masyarakat Orang Asli dan daripada jumlah itu, 64 orang menduduki peperiksaan di SMK Bawong, satu-satunya sekolah menengah orang asli sepenuhnya di negeri ini.
Kata beliau, sekolah berkenaan merekodkan pencapaian lulus 100 peratus bagi tiga tahun berturut-turut dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 5.0 mata bagi tahun 2025.
“Bagi prestasi pencapaian calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) negeri Perak, bilangan yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2025 bagi negeri Perak adalah seramai 107 orang,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


