Lebih 60 tahun berniaga emas, Amaluddin teruskan legasi keluarga

PERNAH diisytihar muflis selepas tiga bulan kedai emas miliknya dirompak tidak mematahkan semangat Pengarah Urusan DS Jewellers, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail.

Anak kelahiran Parit Buntar itu berpandangan bahawa perniagaan emas yang diusahakan keluarganya sejak tahun 70an mempunyai nilai sentimental dan perlu diteruskan.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Amaluddin berkata, keluarganya mula berniaga emas selepas bapa beliau membuka kedai emas di Taiping sekitar tahun 70an.

Beliau berkata, sebelum membuka kedai emas bapanya menjual batu cincin sejak tahun 60an memandangkan itu kemahiran keluarga bapanya sebelum ini.

“Jadi secara ringkasnya perniagaan emas yang diusahakan keluarga saya bermula di Taiping sebelum saya dan adik beradik lain membuka cawangan masing-masing di beberapa lokasi di Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

“Saya buka cawangan di Ipoh manakala adik beradik saya yang lain pula buka di Parit Buntar, Butterworth dan Kulim menggunakan nama yang kami masing-masing tentukan,” katanya.

Pengarah Urusan DS Jewellers, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail beramah mesra dengan pelanggan ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Little India, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MAC 2026.

Menurut Amaluddin meskipun bapanya menjual emas dia tidak disuruh untuk bekerja di kedai milik keluarganya itu dan sebaliknya dia diminta bekerja di kedai kain sekitar Taiping.

“Selepas tamat sahaja belajar bapa saya suruh saya berniaga di kedai kain di Taiping dengan gaji RM50 sebulan selama hampir empat tahun sebelum membuka kedai emas di Taiping.

“Kemudian satu hari bapa saya memberi cadangan agar membuka kedai emas di Taiping dan disitulah bermulanya perniagaan saya dalam bidang emas sehingga sekarang,” katanya.

Diisytihar muflis selepas kedai emas dirompak

Namun siapa sangka perniagaannya di uji apabila kedai emasnya dirompak sehingga beliau diisytiharkan muflis selepas tiga bulan kejadian berkenaan.

Katanya, kejadian tersebut benar-benar memberi tamparan hebat dalam hidupnya sehingga dia hilang arah dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan hampir dua tahun.

Amaluddin berkata, meskipun pada awalnya dia merancang untuk mencari pekerjaan lain termasuk ke Singapura hasrat berkenaan dibatalkan memandangkan minatnya terhadap perniagaan emas yang diusahakan keluarganya sejak tahun 70an amat mendalam.

Pekerja DS Jewellers menyiapkan rekaan barang kemas ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Little India, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MAC 2026.

Katanya, bagi memastikan dia boleh terus menjual emas, Amaluddin mengambil keputusan dengan berhijrah dari Taiping ke Ipoh sekitar 90an bagi berniaga emas secara kecil-kecilan dengan dibantu kakak serta bapa saudaranya.

“Pada tahun 90an kedai emas saya di Taiping dirompak dan selepas tiga bulan saya diisytiharkan muflis kerana tidak boleh membayar hutang bank.

“Dua tahun saya menganggur tidak tahu mahu lakukan kerja apa sehinggalah kakak saya datang memberi cadangan agar menyewa sebuah kedai kecil jual emas di Ipoh dan ambil upah,” katanya.

Jelas beliau, rentetan daripada itu dia akhirnya tekad untuk meneruskan cadangan berkenaan meskipun tidak mempunyai modal selain menerima wang daripada kakaknya.

Sewa kedai kecil jual emas selepas dirompak

Bercerita lanjut Amaluddin berkata, selepas berpindah ke Ipoh dia menyewa sebuah kedai kecil berdekatan dengan kedai emas bapa saudaranya dengan modal yang terhad diberi kakaknya.

Katanya, setiap hari dia mengambil emas di kedai bapa saudaranya lalu menjual di kedai miliknya sebelum wang jualan diberikan pada malam harinya dan kemudian menerima bayaran.

DS Jewellers di Little India, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MAC 2026.

“Waktu ini memang susah dan penat namun saya amat bersyukur mempunyai seorang isteri yang berdiri menyokong saya di belakang sehingga berjaya mengharungi cabaran dan berjaya seperti sekarang.

“Masa saya berkahwin dengan isteri saya memang susah namun dia tetap mahu mendirikan rumah tangga dengan saya dan sokongan diberinya itu amat bernilai,” katanya.

Tambahnya, selepas pelbagai cabaran dia kini mempunyai empat cawangan kedai emas sekitar Ipoh selain dua anaknya turut memilih untuk mengikuti jejaknya dalam perniagaan emas.

“Saya tiada halangan sekiranya anak-anak ingin membuka kedai emas dan Alhamdulillah dua anak saya memilih untuk mengikuti langkah saya dengan membuka kedai emas masing-masing,” katanya.

Sedia berkongsi pengalaman menguruskan kedai emas

Ditanya mengenai cabaran berniaga emas Amaluddin berkata, apabila seseorang usahawan membuat keputusan berniaga dan membuka kedai emas dia berhadapan dengan pelbagai risiko termasuklah rompakan.

Pengarah Urusan DS Jewellers, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail meneliti rekaan barang kemas yang dihasilkan oleh pekerjanya ketika tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di Little India, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 MAC 2026.

Katanya, sepanjang perniagaan kedainya telah dirompak sebanyak tiga kali iaitu pertama di Taiping dan dua kali melibatkan kedai emas miliknya di Ipoh.

“Bila kita buka kedai emas ramai ingat kita ini kaya namun mereka tidak tahu bahawa risikonya amat tinggi selain dirompak ada juga pelanggan bawa lari emas,” katanya.

Namun Amaluddin berkata, dia sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana individu yang berhasrat menjadi usahawan menjual emas dan memerlukan nasihat serta pandangan daripada beliau.

“Ramai orang tidak berapa faham dengan kedai emas. Jadi kalau ada yang datang berjumpa dengan saya Insya-ALLAH saya akan bantu terangkan.

“Keluarga kami berniaga emas lebih 60 tahun dan Insya-ALLAH kami boleh berkongsi pengalaman bagaimana menguruskan kedai emas,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI