TAPAH – Institusi latihan kemahiran seperti GiatMARA wajar dijadikan antara pilihan utama dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, penguasaan kemahiran teknikal atau bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) penting memandangkan ia membuka peluang luas kepada pelajar menceburi pelbagai sektor pekerjaan.

“Dalam situasi sekarang, menguasai kemahiran tertentu sangat baik dan amat diperlukan, seperti kemahiran dalam bidang automotif, solekan dan jahitan kerana boleh membantu mereka hidup berdikari.
“Malah, melalui penguasaan dalam bidang kemahiran serta TVET, mereka boleh bekerja dalam sektor swasta, kerajaan ataupun bekerja sendiri jika mempunyai kemampuan. Oleh itu, kemahiran ini sangat penting dalam dunia sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Tajaan Yuran Pendaftaran GiatMARA Tapah di Temoh, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Pengarah GiatMARA Perak, Mohd Mubaraq Abd Hamid serta Penghulu Tertinggi Daerah, Hamka Othman.

Pada majlis, Mohamad Yusri menyerahkan sumbangan tunai bagi menampung kos pendaftaran kepada sembilan pelajar daripada keluarga B40 di institusi berkenaan.
Kata beliau, inisiatif tersebut merupakan antara usaha yang diambil pihaknya untuk membantu golongan yang berminat dalam bidang kemahiran, khususnya dalam kalangan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Mohamad Yusri berkata, kesemua mereka mengikuti kursus jahitan dan fesyen serta teknologi automotif masing-masing dalam tempoh enam bulan untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua.
“Setiap seorang menerima sumbangan tunai berdasarkan yuran pendaftaran yang melibatkan pelbagai keperluan seperti kad pelajar dan sebagainya.
“Oleh itu, kita harap agar bantuan ini dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus mengikuti latihan di GiatMARA sehingga tamat,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar para pelatih dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan serta meningkatkan kemahiran sedia ada melalui pelbagai program kerjasama dengan pihak berkaitan.
Mohamad Yusri turut mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bagi memperkukuh pembangunan kemahiran masyarakat khususnya dalam kalangan belia setempat
“Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan nilai tambah dan adaptasi terhadap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
GiatMARA mulakan program TVET untuk pekerja gig


