KUALA LUMPUR — Inisiatif Madani Mart akan diperluaskan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat bagi membolehkan semua lapisan masyarakat mendapat manfaatnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh berkata, inisiatif yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, membawa makna yang besar kepada rakyat.
“Satu beg MADANI Mart, tapi cerita dia besar. Harga lebih rahmah, barang lebih mudah capai.
“Bila tengok sendiri rakyat tersenyum pegang ni, itu yang buat semua usaha berbaloi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama di negara ini di Indera Mahkota 8, Kuantan.
Madani Mart, berkonsepkan kedai komuniti berteraskan slogan “Kedai Runcit Harga Rahmah”, merupakan pendekatan signifikan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh serta bersasar.
Inisiatif yang diterajui Yayasan MADANI itu menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 outlet di seluruh negara, bermatlamat memastikan setiap DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan. — MalaysiaGazette


