Mesyuarat mingguan MTEN cari penyelesaian kesan konflik Asia Barat

BAGAN DATUK – Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sedang berusaha mencari jalan mengurus impak konflik Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuklah memanggil pemain-pemain industri mengikut sektor masing-masing untuk memberi taklimat dan pandangan kepada MTEN.

“Kerajaan berusaha sedaya upaya di mana MTEN berusaha setiap minggu mencari jalan mengatasi permasalahan ini.

“Ia termasuk memanggil peneraju-peneraju industri untuk memberi taklimat dan pandangan dengan pandangan mereka diambil kira sebagai langkah-langkah yang akan dilakukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Hari Raya Aidilfitri 2026 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut Ahmad Zahid, selain itu taklimat harian juga diadakan secara langsung dengan segala maklumat dikemaskini dan disampaikan kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Kita harap kita mesti keluar (dari krisis) dan jika ada yang merasakan seperti biasa berada dalam zon selesa ini adalah krisis sebenarnya,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh implikasi dan keperluan terhadap cadangan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi meringankan beban rakyat termasuk golongan peniaga susulan konflik di Asia Barat yang masih berlarutan.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan sedang memberi tumpuan kepada kestabilan bekalan terhadap harga barangan asas di pasaran agar tidak membebankan rakyat.

“Kita sekarang teliti semua implikasi dia. Yang penting sekarang ialah keutamaan disebut dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) (adalah) kita hendak pastikan barang keperluan itu ada.

“(Ia termasuk) minyak masak, tepung, garam, gula, sayur, ikan, daging, ayam (segar),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, pada Sabtu. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI