KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang supaya mempertimbangkan pemberian subsidi petrol 300 liter kepada petugas kesihatan yang terkesan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ia penting bagi memastikan disiplin fiskal negara dapat diperkukuh tanpa menjejaskan keberkesanan perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat.
“Bagi memastikan petugas kesihatan yang mempunyai keperluan mobiliti tugas tinggi mendapat sokongan sewajarnya tanpa menjejaskan matlamat rasionalisasi subsidi negara,” kata bekas Menteri Kesihatan itu menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan pandangan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan (Mapsu) berhubung keperluan mengekalkan kuota subsidi petrol sebanyak 300 liter sebulan bagi petugas kesihatan yang melaksanakan tugasan lapangan secara berterusan.
Jelasnya, tidak dapat dinafikan sebahagian petugas kesihatan awam menggunakan kenderaan sendiri bagi melaksanakan lawatan pesakit kronik, pemantauan penyakit berjangkit serta intervensi kesihatan komuniti.
“Keperluan mobiliti ini berkait secara langsung dengan keberkesanan sistem kesihatan awam di peringkat akar umbi,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang itu menyokonglangkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol kepada 200 liter sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara susulan tekanan krisis tenaga global.
Jelasnya, majoriti rakyat tidak terkesan dengan pelarasan tersebut memandangkan data menunjukkan 90 peratus rakyat menggunakan BUDI95 kurang 200 liter sebulan.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penyelarasan had kuota petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April lalu.
Langkah tersebut diambil susulan peningkatan harga minyak mentah global, namun harga RON95 kekal RM1.99 seliter bagi meringankan beban majoriti pengguna. – MalaysiaGazette


