Perak jamin tiada laluan bas henti-henti ditamatkan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bahawa tiada mana-mana laluan atau perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negeri ini yang akan ditamatkan atau dihentikan operasinya setakat ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu termasuklah di laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna susulan penamatan operasi.

Katanya, perkhidmatan pengangkutan awam itu akan terus dipertahankan untuk beroperasi demi kebajikan rakyat di negeri ini.

“Perkhidmatan bas diteruskan kerana kita ambil maklum akan keresahan pengguna khususnya murid dan pelajar yang amat bergantung kepada perkhidmatan bas ini ke sekolah. Oleh sebab itu, kerajaan negeri akan pastikan bahawa tiada laluan yang akan ditamatkan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Padang Taman Lapangan Jaya di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat memaklumkan, bagi memastikan inisiatif itu terus terpelihara, kerajaan negeri sedang dalam perancangan bagi pembukaan laluan.

Kata beliau, permohonan bagi laluan baharu yang dibuat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu melibatkan kawasan di sekitar Gopeng dan Kampar.

“Laluan itu melibatkan lokasi di Tanjung Tualang, Kampung Timah, Tronoh Mine, Kopisan yang mana ia dalam kawasan di Kampar sehingga ke Gopeng, bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Ia penting kerana melibatkan sekurang-kurangnya lima sekolah di sepanjang kawasan berkenaan yang mana ia amat memerlukan perkhidmatan bas.

“Laluan itu belum diputuskan secara rasmi, namun sekiranya diluluskan nanti, kita akan berbincang mengenai dari segi pelaksanaan termasuk aspek pengendalian dan formula subsidi yang sesuai,” katanya.

Mengulas lanjut Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri kini sedang meneliti semula formula subsidi yang lebih praktikal bagi mengimbangi kos operasi perkhidmatan bas yang perlu ditanggung syarikat pengendali.

Jelas beliau, antara cabaran yang perlu dihadapi pengendali syarikat bas adalah kekurangan subsidi selain jumlah penumpang yang tidak menepati sasaran sehingga menyebabkan syarikat menghadapi kerugian berterusan.

“Jika ada kaedah penyelesaian menang-menang (antara pihak pengendali syarikat bas dengan) kerajaan negeri, maka kita boleh wujudkan subsidi tanpa membebankan kewangan negeri.

“Di samping itu, pihak pengendali pula mampu meneruskan perkhidmatan tanpa mengalami kerugian,” jelasnya.

Mengulas tentang gangguan perkhidmatan bas di laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik sebelum ini, Mohammad Nizar memberitahu, perkara itu susulan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Mac lalu.

“Namun disebabkan tempoh perkhidmatan yang dibenarkan telah tamat dan tiada keputusan ketika itu, operasi terpaksa dihentikan sementara mengikut perjanjian.

“Bagaimanapun, Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) telah memberi kepastian bahawa perkhidmatan bas henti-henti di laluan tersebut diteruskan,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penduduk Lenggong lega, bas henti-henti kembali beroperasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI