IPOH – Perak memantau secara rapi situasi paras air di semua empangan di negeri ini susulan trend penyusutan paras air ekoran cuaca panas dan kering yang memberi kesan kepada bekalan air serta penjanaan tenaga hidro.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini keadaan masih terkawal walaupun terdapat gangguan kecil akibat pengurangan taburan hujan.
“Walaupun berlaku situasi cuaca panas dan kering, kita masih memantau dan akan mengenal pasti gangguan sekiranya ia berlaku serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Langkah pemantauan akan membabitkan tiga agensi utama iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Air Perak (LAP).
“Sekiranya berlaku gangguan, pengagihan bekalan air akan dilakukan secara terkawal dan adil supaya keperluan domestik, pertanian serta penjanaan tenaga dapat dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Padang Taman Lapangan Jaya di sini pada Ahad.
Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat memberitahu, paras air di Empangan Bukit Merah merekodkan bacaan 6.965 meter yang mana ia menunjukkan trend penurunan selain berada pada status Kritikal Pengairan Tahap Satu.
Beliau berkata, sementara di Empangan Temengor pula menunjukkan trend penurunan paras air yang berlarutan sejak awal Januari dengan paras semasa berada pada 239.07 meter dan semakin menghampiri paras kritikal operasi selamat empangan iaitu 238 meter.
“Keadaan itu menunjukkan hanya kira-kira satu meter ‘buffer’ sebelum mencapai tahap bahaya yang memerlukan tindakan kecemasan.
“Paras semasa ini masih memberi ruang fleksibiliti, tetapi pemantauan berterusan perlu dilakukan. Jika penurunan melebihi had tertentu, kita akan segera melaksanakan langkah tambahan,” jelas beliau.
Di samping itu ujar beliau, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah awal menangguhkan jadual penanaman padi di kawasan Seberang Perak dan Kerian selama kira-kira dua minggu bagi mengurangkan penggunaan air.
Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dipersetujui oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) selepas mengambil kira keadaan semasa sumber air.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan juga sedang dipertimbangkan sebagai langkah terakhir dengan tumpuan di kawasan Empangan Temenggor.
“Operasi ini hanya akan dilaksanakan sekiranya langkah awal tidak berkesan, dengan cadangan pelaksanaan antara 6 hingga 9 April melalui kerjasama agensi berkaitan. Kita berharap dalam tempoh terdekat ini akan berlaku hujan bagi membantu menstabilkan paras air empangan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Cuaca panas tidak jejas pelepasan air empat empangan utama di Perak – Exco


