MB Perak sangkal spekulasi PRN

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan dakwaan kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, isu yang ditimbulkan dalam analisis politik sebuah akhbar bahasa inggeris pada 5 April lalu itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kerajaan negeri.

“Saya sendiri membaca artikel tersebut dan agak terkejut kerana perkara ini tidak pernah dibincangkan di mana-mana platform.

“Harus diingat, prosedur untuk mengadakan PRN (bukan sesuatu yang mudah kerana) ia perlu menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi cadangan pembubaran DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) kepada 10 penerima di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah People Of Remarkable Talents (PORT), Datuk Khairudin Abu Hanipah; Ahli Lembaga PORT, Mohamad Hamidi Baharuddin; serta Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

Saarani diminta mengulas berkenaan sebuah laporan analisis yang mendakwa terdapat pertimbangan untuk diadakan PRN di Perak sebagai langkah menguji kekuatan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Laporan tersebut juga menyebut Perak berpotensi dijadikan ‘ujian berisiko rendah’ bagi menilai sokongan pengundi, khususnya Melayu, terhadap kerajaan MADANI selain memberi gambaran awal terhadap keputusan pilihan raya yang lebih besar di peringkat nasional.

Mengulas lanjut Saarani berkata, sekiranya cadangan pembubaran DUN tidak mendapat perkenan Sultan, maka Menteri Besar dianggap telah meletakkan jawatan.

“Saya tidak akan menghadap Tuanku untuk membubarkan dewan. Tambahan pula, kita masih mempunyai lebih setahun untuk meneruskan mandat lima tahun yang telah diberikan.

“Jadi secara peribadi, tiada kemungkinan berlaku PRN di Perak,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Anwar beri bayangan PRU16 bukan dalam masa terdekat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI