TAPAH – Isu tanah, bantuan kepada petani, penternak dan nelayan antara perkara yang disuarakan golongan berkenaan pada Hari Bertemu Petani, Penternak dan Nelayan@DUN Ayer Kuning Sempena Jelajah Sejahtera Agro.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia selari dengan pendekatan yang diambil kerajaan negeri dalam membantu golongan berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan Hari Bertemu Petani, Penternak dan Nelayan di setiap DUN Sempena Jelajah Sejahtera Agro merupakan inisiatif di bawah portfolio beliau dalam memudahkan golongan tersebut bertemu agensi dan jabatan terlibat.

“Ini satu pendekatan yang baik dan kita berharap dengan program ini akan dapat membantu petani, penternak dan juga nelayan menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi selama ini.
“Banyak perkara yang mereka boleh bangkitkan melalui jabatan agensi mungkin dari segi persediaan geran, bantuan pinjaman, benih anak ikan dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Hari Bertemu Petani, Penternak dan Nelayan@DUN Ayer Kuning Sempena Jelajah Sejahtera Agro di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh, di sini pada Khamis.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Sementara itu, Mohd Zolkafly dalam ucapannya berkata, Program Jelajah Agro ini merupakan satu inisiatif penting kerajaan negeri turun padang dan mendekati golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan.

“Kita tidak mahu hanya merancang di pejabat, tetapi kita mahu mendengar sendiri suara rakyat, memahami cabaran sebenar di lapangan, dan mencari penyelesaian yang praktikal serta berkesan.
“Gunakan ruang yang disediakan untuk mengemukakan sebarang aduan, mendapatkan khidmat nasihat, atau bertanyakan secara terus mengenai bantuan dan insentif yang ditawarkan oleh jabatan dan agensi yang hadir bersama kita pada hari ini,” katanya.
Tambahnya, golongan petani, penternak dan nelayan tidak perlu berasa segan untuk tampil ke hadapan sekiranya mempunyai masalah kerana Program Jelajah Agro merupakan ruang terbaik untuk menyelesaikan masalah secara terus, cepat dan berkesan.
“Kerajaan Negeri Perak akan terus komited dalam memastikan kebajikan petani, penternak dan nelayan sentiasa terbela.
“Pelbagai inisiatif akan terus diperkasakan termasuk bantuan subsidi, pemodenan sektor pertanian, penggunaan teknologi serta pengukuhan rantaian bekalan makanan,” katanya. -MG Perak


