Muhyiddin dibicarakan di bawah Akta Hasutan 3 November ini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 3 November ini bagi mendengar perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut menyentuh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan perbicaraan didengar selama enam hari iaitu pada 3, 4, 5, 11, 12, dan 13 November.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Seri Paduka selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan, pasukan pembelaan memohon tarikh perbicaraan selepas September ini bagi membolehkan kes Jana Wibawa melibatkan bekas Perdana Menteri di mahkamah berlainan, didengar terlebih dahulu.

Menurut beliau, perbicaraan kes tersebut kini berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin dan dijadual selesai selepas September.

“Kami bersedia, sebanyak 115 akuan bersumpah telah diberikan kepada pihak siasatan. Mohon pendakwaan menyerahkan senarai saksi dan pernyataan bertulis untuk kegunaan perbicaraan kelak,” ujarnya.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd. Saad dan Nadia Mohd. Izhar.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri turut menghadiri prosiding di hadapan Hakim Noor Ruwena berkaitan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Dalam pada itu, Amer Hamzah memaklumkan, bekas Perdana Menteri sebelum ini memohon empat persoalan perlembagaan berkaitan pertuduhan di bawah Akta Hasutan, diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu memutuskan, rujukan persoalan perlembagaan itu boleh dijawab dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais berkata, mereka berpendirian untuk tidak menjawab keempat-empat persoalan tersebut pada peringkat itu.

“Panel menghantar semula rujukan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi. Sebarang isu berbangkit boleh dikemukakan di hadapan hakim berkenaan,” katanya.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin merujuk empat persoalan undang-undang itu selepas mendapati ia mempunyai kaitan langsung dengan perkara yang dipertikaikan.

Pada 4 Februari 2025, Muhyiddin, 78, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI