BERUAS – Dua lelaki termasuk seorang warga asing maut selepas sebuah lori muatan ayam terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan kilometer (km) 194.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan jalan raya itu pada jam 10.11 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan seorang lagi lelaki warga Vietnam berumur 30an telah tercampak keluar dan tersepit di tepi lori jenis Hino itu.
“Kedua-dua mereka telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Ujar beliau, pasukan bomba yang berada di lokasi mengeluarkan mangsa tersepit daripada lori yang tersebut dengan menggunakan peralatan penyelamatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Awa Suziana Abd Wahid itu tamat pada jam 11.32 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua maut, seorang cedera dalam kemalangan babit kereta, motosikal


