IPOH – Seorang lelaki meninggal dunia manakala lima ahli keluarganya cedera selepas Perodua Aruz dinaiki mereka terbabas dan memasuki gaung sedalam tiga meter di Batu 21, Jalan Tapah – Cameron Highlands, malam tadi.
Difahamkan mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands bagi menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan berusia 44 tahun, manakala lima yang cedera adalah seorang wanita berumur 48 tahun, dua remaja perempuan berusia 19 dan 17 tahun serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 9 dan 6 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.43 malam dan setibanya dilokasi didapati kenderaan tersebut terjatuh ke dalam gaung sedalam tiga meter.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kereta tersebut telah terjatuh ke dalam sungai yang cetek dan berada dalam keadaan yang terbalik.
“Terdapat enam orang mangsa yang menaiki kereta tersebut di mana lima mengalami kecederaan manakala seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sabarodzi, ketua operasi dimaklumkan bahawa kelima-lima mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan pada pada pihak KKM untuk menerima rawatan, manakala mangsa pemandu dilaporkan telah tersepit.
“Ketua operasi kemudian melaksanakan size-up dan seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota untuk menganjakkan tempat duduk mangsa dan menggunakan stretcher untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri dibawa naik ke atas dan diperiksa oleh pegawai perubatan KKM yang hadir namun disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM manakala mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Ringlet tamat jam 11.02 malam. -MG Perak


