IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 24,060 kilogram (kg) minyak masak di sebuah kilang di sini dengan nilai dianggarkan berjumlah RM153,660.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak telah pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di bawah Ops Tiris 4.0 ke atas premis kilang memproses dan membungkus makanan itu pada Khamis.
Menurut beliau, Ketika pemeriksaan dilakukan, didapati premis berkenaan memiliki barang kawalan minyak masak botol 5kg dalam simpanannya.
“Satu notis di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat pemilikan barang kawalan yang berada di premis tersebut.
“Hasil maklum balas notis tersebut mendapati premis ini mempunyai permit menyimpan barang kawalan dan memiliki bekalan semasa minyak masak sebanyak 24,060 kg,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Kamalludin semakan lanjut mendapati jumlah tersebut melebihi had kuantiti sebanyak 1,000 kg yang dibenarkan di dalam permit barang kawalan premis tersebut.
“Sehubungan dengan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 24,060kg minyak masak dan dokumen-dokumen berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 153,660.00.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan,” katanya.
Katanya lagi, premis berkenaan turut dikenakan tindakan dibawah Seksyen 14(6) Akta Timbang Dan Sukat 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang yang tidak ditentusahkan dalam urusan perniagaan. -MG Perak


