Siasatan dakwaan saham Azam Baki telah selesai – Fahmi

PENANTI – Siasatan berhubung dakwaan pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah selesai namun hasilnya tidak boleh diumumkan pada masa ini, kata Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil.

Jelas beliau, ia kerana boleh mengganggu proses yang sedang berjalan.

Fahmi berkata, proses seterusnya kini berada di bawah tanggungjawab Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang akan menguruskan perkara berkenaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Setahu saya, siasatan berkaitan dakwaan pegangan saham itu telah selesai. Proses seterusnya diuruskan oleh Tan Sri KSN dan keputusannya adalah di bawah beliau berdasarkan keputusan yang dibentang kepada Jemaah Menteri.

“Tetapi kita tidak boleh umumkan dapatan itu kerana boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh masa pengumuman keputusan tersebut, Fahmi berkata perkara itu perlu dirujuk kepada KSN.

Media pada Februari lalu melaporkan Azam Baki menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Beliau berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya.

“Saya sudah membuat pengisytiharan berhubung perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semuanya telus,” katanya.

Azam memberi reaksi itu bagi menjawab laporan Bloomberg yang melaporkan beliau memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI