KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan pemimpin Pas yang mengelarnya `budak catur’ kerana lantang bersuara menyerang DAP.
Muhamad Akmal sebaliknya berkata, beliau bukan sekadar melawan DAP ketika berceramah, malah menentang pemimpin parti itu dalam dua kes di mahkamah.
“Jadi kalau sampai mahkamah kita lawan tapi YAB Sanusi cakap kita budak catur, terpulang lah.
“Ingat datang Melaka ceramah tentang cadangan untuk bangunkan Melaka lebih baik dari BN buat sekarang, tapi ceramah kutuk orang sahaja rupanya,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Muhamad Akmal menjawab kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika berucap sebelum merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Melaka di Bukit Katil malam tadi.
Dalam ucapannya, Muhammad Sanusi berkata, Muhamad Akmal tidak sekuat mana kerana sekadar lantang bersuara.
Menurut beliau, ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memutuskan parti itu tetap akan bekerjasama dengan DAP.
“Akmal bukan kuat, dia hanya suara deras (lantang) sahaja. Nampak cengey (garang) tetapi sebenarnya jadi budak catur kepada Zahid Hamidi.
“Bos dia Khairy Jamaluddin. Khairy tak tahu nak pergi mana, akhirnya masuk UMNO balik, dia kata nak mai (datang) Kedah, saya kata mai, mai, mai,” ujarnya.
Muhamad Akmal bagaimanapun mengingatkan Muhammad Sanusi supaya menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang melompat ke parti Pas supaya tidak ponteng sidang Dewan.
Ujarnya, Jumaat lalu, Speaker memaklumkan ADUN berkenaan cuti sakit selama tiga bulan kerana kakinya retak.
“YB Rembia MC tiga bulan sebab kaki retak, tapi malam semalam boleh datang ke ceramah Pas pula ya.
“Tanggungjawab pada rakyat untuk hadir dan bahas dalam sidang Dewan dia tidak mahu buat, tapi ceramah Pas dia sanggup datang walau dalam MC.
“Sidang DUN empat hari je dalam empat bulan, itupun dia ponteng. Mungkin ceramah Pas lebih penting dari tanggungjawab hakiki kepada rakyat,” ujar beliau.
Muhamad Akmal selanjutnya berkata, rakyat akan menilai ketika pilihan raya negeri (PRN), siapa pemimpin yang bekerja dan siapa pemimpin yang membohongi rakyat. – MalaysiaGazette


