MyFuture Jobs: 10,000 peluang kerja ditawarkan dalam karnival 2 hari

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji antara RM3,000 hingga RM16,000 disediakan sepanjang dua hari penganjuran karnival kerjaya, melibatkan pelbagai majikan termasuk syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, inisiatif tersebut dilihat sebagai peluang terbaik kepada pencari kerja khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kira-kira 5,800 peluang pekerjaan telah berjaya diisi hanya pada hari pertama penganjuran.

“Peluang ini bukan sahaja tertumpu di Semenanjung, malah turut melibatkan Sabah dan Sarawak, sekali gus memperluaskan akses pekerjaan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan tapak ke Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 yang berlangsung semalam dan hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ramanan berkata, antara sektor yang mencatat permintaan tinggi termasuk pembuatan dan perkhidmatan, selain peluang dalam bidang kejururawatan, perbankan serta audit.

Dalam perkembangan sama, Ramanan memaklumkan sektor perkhidmatan kini menyumbang hampir 30 peratus daripada peluang pekerjaan yang ditawarkan, menunjukkan pertumbuhan positif industri berkenaan.

Tambahnya, kementerian turut memperkenalkan hab digital MyFutureJobs berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang kini beroperasi di KL Sentral bagi memudahkan pencari kerja membina profil, memadankan pekerjaan serta meningkatkan peluang mendapat tawaran kerja.

“Platform ini akan membantu pencari kerja mengenal pasti bidang yang sesuai dengan kemahiran mereka serta menawarkan padanan kerja dengan gaji terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, satu lagi karnival kerjaya berskala besar akan diadakan pada 9 Mei ini dengan penyertaan lebih 52 syarikat, menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji minimum sekitar RM5,000.

Karnival tersebut akan memulakan siri jelajah di Melaka sebelum diperluaskan ke seluruh negara dengan jumlah peluang pekerjaan yang lebih besar berbanding tahun lalu.

Tambahnya, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 penempatan pekerjaan dapat direalisasikan sepanjang tahun ini menerusi pelbagai inisiatif yang dirancang.

Dalam pada itu, menurut Ramanan lagi, KESUMA akan melancarkan siri inisiatif sokongan krisis bersasar sempena Hari Pekerja pada 1 Mei ini bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global, susulan 5,900 rakyat Malaysia dilaporkan diberhentikan kerja pada Mac lalu dengan Selangor dan Kuala Lumpur paling terjejas.

Menurutnya, langkah proaktif itu diambil berikutan trend membimbangkan dalam pasaran buruh negara yang dipengaruhi tekanan geopolitik semasa.

Beliau menjelaskan, antara fokus utama inisiatif tersebut adalah meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja melalui intervensi lebih dinamik, termasuk penambahbaikan terhadap Akta 800 (Akta Sistem Insurans Pekerjaan) sedia ada.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat lebih menyeluruh kepada pekerja, meliputi aspek perlindungan sosial serta akses lebih mudah kepada program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling),” katanya.

Tambah beliau, usaha berkenaan merupakan langkah kritikal kementerian bagi mempercepatkan proses penempatan semula pekerja ke sektor pekerjaan yang lebih stabil sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI