Perak pastikan warga emas kekal aktif, produktif selari agenda masyarakat menua

KERAJAAN Negeri Perak terus memberi perhatian serius terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas menerusi pelbagai program yang memberi fokus kepada aspek kesihatan, kecergasan serta kehidupan sosial mereka.

Usaha berterusan ini dilaksanakan bagi memastikan warga emas mampu menjalani kehidupan yang lebih berkualiti selaras dengan agenda pembangunan masyarakat sejahtera di negeri itu.

Berdasarkan data semasa, Perak telah mencapai status negeri menua lebih awal apabila lebih 15 peratus daripada kira-kira tiga juta penduduk kini berusia 60 tahun ke atas.

Perkembangan ini menunjukkan keperluan yang semakin mendesak terhadap pelaksanaan inisiatif yang bermanfaat melibatkan warga emas di negeri ini.

Selain berhadapan dengan penyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes, ramai dalam kalangan warga emas turut mengalami masalah kesihatan lain termasuk sakit otot, kekakuan sendi, penurunan tahap mobiliti serta kurang keyakinan untuk terlibat dalam aktiviti komuniti.

Perak pastikan warga emas kekal aktif, produktif
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed (dua dari kanan) melihat produk hasil jualan warga emas pada program WE Fit Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh baru-baru ini. Foto Rosdalilah Zahari

Justeru, Program Warga Emas Fit (WE Fit) anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (SPW) antara salah satu inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu warga emas kekal aktif bersosial serta menjaga kesihatan fizikal dan mental secara menyeluruh.

Di samping itu, kewujudan 21 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh Perak turut menggalakkan lebih ramai warga emas di negeri ini terus meningkatkan produktiviti menerusi aktiviti komuniti sosial yang dilaksanakan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM120,000 bagi melaksanakan program WE Fit di 12 kawasan yang mempunyai populasi warga emas tinggi.

Menurutnya, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai populasi warga emas tinggi sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan, kecergasan fizikal serta pembentukan ekosistem sosial yang lebih inklusif.

“Alhamdulillah setakat beberapa program yang kita adakan, kita lihat warga emas yang hadir program WE-Fit kebanyakkannya masih sihat.

“Bagaimanapun, kehadiran itu tidak boleh menggambarkan warga emas di negeri Perak ini berada dalam situasi yang sihat tetapi yang mana hadir itu alhamdulillah memang dari segi kecergasan secara fizikalnya mereka sihat.

Perak pastikan warga emas kekal aktif, produktif
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyantuni warga emas pada Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, Parit tahun lalu. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Tetapi apa yang lebih penting ialah kami nak mewujudkan satu kesedaran kepada warga emas untuk menjaga kesihatan dan macam saya sebut tadi kita juga nak memberi apa tumpuan kepada pembentukan ekosistem dan juga melibatkan intergenerasi secara tidak langsung.

“Ini disebabkan kita tengok sekarang masalah sosial warga emas yang ditinggalkan, ibu bapa yang diabaikan oleh anak-anak sebab masing-masing tak ada rasa semangat kasih sayang, hormat-menghormati antara yang muda kepada yang tua.

“Jadi program-program seumpama ini kita akan libatkan bukan sahaja kepada warga emas kita juga akan libatkan kepada golongan muda untuk mewujudkan satu apa kesedaran sosial kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette baru-baru ini.

Beliau turut menyeru warga emas serta ahli keluarga mereka supaya  memanfaatkan platform PAWE bagi menyertai program-program kesedaran dan kesejahteraan yang disediakan kerajaan negeri.

“Kita menggunakan PAWE sebagai platform ya antara pendekatan yang kita boleh buat ialah bagi memastikan kesedaran dalam kalangan warga emas ini, anak-anak semua yang pertamanya sebab kita ada PAWE.

“PAWE antara lokasi yang boleh kita cari warga emas bersosial, melakukan aktiviti dalam jumlah yang ramai. Sehubungan itu, PAWE boleh dijadikan sebagai satu platform untuk mengajak yang lain-lain menyertai program-program kita,” ujarnya.

Perak pastikan warga emas kekal aktif, produktif
Rosnah Alwi, 65, ketika ditemui pada pada program WE Fit Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh baru-baru ini. Foto Rosdalilah Zahari

Peserta WE Fit, Rosnah Alwi berkata, program seumpama ini membuktikan bahawa amalan gaya hidup sihat mampu meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan risiko penyakit, selain membantu mengekalkan kecerdasan mental termasuk mencegah masalah demensia.

Katanya, melalui pelbagai aktiviti seperti senaman, pemeriksaan kesihatan dan perkongsian maklumat, program ini menjadi platform penting untuk warga emas terus berinteraksi, berkongsi pengalaman serta mendapatkan informasi berkaitan penjagaan kesihatan.

Tambahnya, Sambutan memberangsangkan yang diterima menunjukkan golongan ini semakin peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan tidak mahu hanya terperap di rumah.

“Program ini ada macam-macam antaranya pemeriksaan kesihatan. Saya melihat rakan-rakan dari PAWE Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak memberikan komitmen tinggi dan amat fokus dengan menyertai program ini.

“Kami amat berterima kasih kerana menjemput kami untuk bersama-sama menjayakan program ini. Kepada sekretariat penganjur program-program seumpamanya diharap boleh jemput kami kerana ia memang amat bermanfaat.

“Pada masa sama, program seperti ini membantu mengelakkan demensia. Saya perhatikan rakan-rakan yang selalu hadir itu, mereka tak mudah lupa. Banyak benda mereka ingat, jadi mereka menjaga keadaan diri mereka waktu warga emas ini tidak duduk di rumah,” ujarnya.

Rosnah yang juga ahli jawatankuasa PAWE UTC Perak berkata, keahlian aktif PAWE di pusat berkenaan kini melebihi 200 orang dengan kehadiran harian sekitar 45 hingga 60 peserta setiap hari.

Beliau berkata, antara kelebihan utama program seperti WE Fit adalah membantu warga emas kekal cergas, sihat dan berdaya saing meskipun usia semakin meningkat.

“Pada pandangan saya, orang lebih berusia perlu keluar dan bercampur dengan kawan, berbual supaya tak mudah lupa.

“Ini secara tidak langsung akan menyegarkan semula minda mereka jika berinteraksi selain saling mengingati perkara berkaitan kesihatan, makanan dan sebagainya,” jelasnya.

Perak pastikan warga emas kekal aktif, produktif
Lam Ah Liat, 78, ketika ditemui pada pada program WE Fit Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang di Dewan Greentown, Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh baru-baru ini. Foto Rosdalilah Zahari

Bagi Lam Ah Liat, 78, dia bersama isteri menyertai program tersebut selepas diajak oleh rakan-rakan daripada PAWE.

Menurutnya, banyak aktiviti yang dapat dilakukan ketika mengikuti program ini khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan.

“Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, saya dan isteri berazam untuk lebih menjaga pemakanan demi kesihatan yang lebih baik.

“Ini supaya kami dapat terus melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti komuniti,“ katanya yang mempunyai rekod kehadiran cemerlang di PAWE sejak 11 tahun lalu.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menumpukan kepada agenda Menyantuni Golongan Rentan, dengan fokus khusus terhadap kebajikan serta keperluan warga emas di negeri Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perkukuh agenda masyarakat menua melalui program WE Fit

Dapatan WE Fit bantu Perak rangka inisiatif untuk warga emas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI