PARIT BUNTAR – Sebanyak 460 aduan direkodkan Kerajaan Negeri Perak sepanjang tiga siri penganjuran Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) bermula awal tahun hingga Mei 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 388 aduan berjaya diselesaikan kerajaan negeri.
“Manakala baki 72 aduan iaitu bersamaan 16 peratus sedang dalam tindakan lanjut oleh pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 3 Tahun 2026 di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian, Pekan Baru (Dennistown) di sini, pada Isnin.

Saarani berkata, penganjuran Program MESRA HBP Siri Ketiga Tahun 2026 yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian pada Isnin terus menjadi platform penting bagi Kerajaan Negeri mendekati rakyat serta menyelesaikan isu secara langsung.
Katanya, Pprogram HBP kali ini turut melibatkan 77 kaunter khidmat pelanggan daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, termasuk satu kaunter bergerak bagi memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Bagi siri ketiga ini, sejumlah 140 aduan baharu telah direkodkan melibatkan pelbagai isu rakyat,” katanya. -MG Perak


