IPOH – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentangkan perkembangan terkini berkaitan isu tiga ekor gajah yang kini berada di Zoo Tennoji Osaka (ZTO), Jepun.
Perjumpaan yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semalam memberi penekanan kepada beberapa perkara utama khususnya berkaitan kebajikan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Sandrea berkata, kepentingan menjaga hubungan diplomatik yang baik dan menghormati komitmen serta perjanjian yang telah dimeterai turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
“Keprihatinan masyarakat terhadap isu ini amat dihargai, dan dalam masa yang sama adalah penting untuk kita melihatnya secara menyeluruh, berasaskan fakta serta perkembangan semasa.
“Penekanan turut diberikan agar semua pihak berkaitan mengambil pendekatan yang cermat dalam setiap tindakan, dengan keutamaan diberikan kepada kebajikan haiwan serta pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik.
“Perkembangan lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa oleh pihak yang berwajib,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan ZTO bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia itu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya tidak terlibat sebagai pihak dalam perjanjian pemindahan haiwan tersebut dan perjanjian berkenaan dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan ke perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.
Pada masa sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak ZTNS mengambil tindakan segera membawa pulang ketiga-tiga gajah itu dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak teliti isu pemindahan DAK dalam perjumpaan khas minggu depan


